BAGAN DATUK: Pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Melaka harus menggambarkan komposisi parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti besar bagi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, namun perkongsian kuasa bersama dengan parti-parti Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai langkah terbaik.

Justeru, katanya, satu pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan hal berkenaan.

“Alangkah baiknya jika Kerajaan Negeri Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan juga perkongsian kuasa dengan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang telah dipilih oleh rakyat daripada parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana di Persekutuan.

“Dan begitu juga portfolio yang akan diagih-agihkan kepada barisan Exco ini, saya yakin ia akan diperbincangkan dengan saya.

“Ia supaya usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negeri dapat diteruskan hasil daripada kesinambungan yang dibuat Ketua Menteri sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Tadarrus al-Quran Perdana Sempena Ramadhan Peringkat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Sabtu.

Ditanya tentang kemungkinan ada nama-nama ADUN BN yang bakal digugurkan daripada senarai Exco, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata perkara itu diserahkan kepada Ab Rauf.

“Itu saya serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri baru. Tetapi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib diletakkan (membarisi Exco Melaka) untuk memperlihatkan kebersamaan di dalam kerajaan baru Negeri Melaka,” katanya.

Pada perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata kestabilan politik di Melaka dilihat mampu membantu kepada kemenangan parti-parti Kerajaan Perpaduan dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Tentunya kestabilan politik di Melaka akan turut menyumbangkan kebolehmenangan di keenam-enam negeri yang ada PRN ini.

“Dan kita harap jentera Negeri Melaka akan membantu, jentera BN, dan jentera-jentera bagi semua parti Kerajaan Perpaduan dalam PRN yang akan datang nanti,” jelasnya.

Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada Jumaat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Dalam sidang media sejurus selepas majlis angkat sumpah itu, Ab Rauf dilaporkan memberi bayangan bahawa pelantikan barisan Exco akan turut melibatkan ADUN daripada blok Pakatan Harapan (PH), walau bagaimanapun ia akan dibincangkan dengan Ahmad Zahid.