KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan parti komponennya, Pas bagi membentuk kerajaan persekutuan kerana parti itu “pentaksub perkauman”.

Beliau yang juga bekas ketua PKR Sarawak berkata, Ahli Parlimen di negeri itu perlu mengekalkan keharmonian yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Beliau merujuk “kenyataan tidak benar yang bahaya” untuk menghasut orang Islam menentang penganut Krisitian yang dikaitkan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, berhubung cubaan didakwa untuk “mengkristiankan Malaysia” oleh Pakatan Harapan (PH).

“Orang Kristian di Sarawak menolak kenyataan ini dan kami tidak mahu (Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg) bekerjasama dengan PN dalam apa jua cara atau bentuk,” kata Baru dalam kenyataan.

Muhyiddin kemudian menjelaskan ucapannya diambil di luar konteks oleh pihak lawan PN bagi mencemarkan imejnya.

Beliau turut mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menunjukkan dirinya sebagai “pentaksub agama dan kaum” dengan menyalahkan orang bukan Islam sebagai punca rasuah.

Katanya, orang Sarawak belum melupakan penghinaan Hadi terhadap Orang Asal Sarawak dengan merujuk mereka sebagai pengundi “jahil bercawat”.

“Saya menggesa semua Ahli Parlimen dalam GPS lantang menolak PN dan Pas.

“Kita nyatakan pendirian kepada premier untuk menolak kerjasama dengan pentaksub agama dan kaum,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut GPS dikatakan berbalah dengan rancangan gabungan itu bekerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan persekutuan, dengan sumber parti memberitahu, sebahagian pemimpin “takut” untuk bekerjasama dengan Pas.

Semalam, Abang Johari dilaporkan berkata, GPS setuju bergabung dengan PN, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah untuk membentuk kerajaan baharu yang stabil. Tetapi, BN menafikan ia berunding dengan GPS atau PN mengenainya.