JOHOR BAHRU: Baru sahaja sehari memenangi kerusi di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam dan bergelar wakil rakyat, Suhaizan Kayat telah pun menerima lebih daripada 30 permohonan bantuan daripada rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata permohonan tersebut banyak berkisarkan kepada keperluan infrastruktur penduduk, terutamanya melibatkan isu-isu perumahan selain golongan wanita dan anak muda mahukan pelbagai program diadakan di kawasan itu.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata sebagai wakil rakyat di Parlimen itu, beliau akan berusaha menunaikan segala permohonan rakyat, malah tidak akan meminggirkan keperluan daripada rakyat yang tidak mengundi beliau dalam pilihan raya itu.

"Permohonan yang diterima setakat ini dalam tangan saya lebih daripada 30 permohonan, itu yang dicatatkan. Ada juga yang sebut kepada wakil saya. Kita akan teliti. Sekarang pula kita berada di hujung tahun itu juga cabaran untuk kita menguruskannya.

"Ahli Parlimen dilantik oleh pengundi dan akan berkhidmat untuk rakyat, maknanya semua rakyat Malaysia berhak mendapat pembelaan itu, walaupun bukan penyokong, sebaiknya sama-sama kita akan bantu mereka," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) di Dewan Raya Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor ketika berucap pada majlis itu berkata pembentukan dirinya sebagai ahli politik, banyak dididik oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika sama-sama dalam PAS, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Salahuddin.

"Beliau beri tunjuk ajar kepada saya dalam politik Johor dan negara. Antara usaha beliau untuk didik saya, Salahuddin selalu sebut mahu pegawai dia termasuk saya jadi seperti dia, jadi kita cuba usahakan untuk memenuhi permintaan beliau seperti santuni masyarakat dan pendekatan politik sederhana," katanya.

Sementara itu, anak sulung kepada Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, 37, yang turut hadir pada majlis itu berkata beliau percaya, Suhaizan dapat meneruskan legasi perkhidmatan bapanya kerana Suhaizan merupakan salah seorang daripada anak didik Salahuddin, di dalam dunia politik.

"Ayah saya memang rapat dengan Suhaizan, hubungan mereka lebih kurang macam anak didik. Saya akui untuk mencari individu yang sama memang tidak mungkin, tetapi sekurang-kurangnya apa yang diajar dan dididik Allahyarham ada pada beliau.

"Oleh itu, beliau boleh bawa didikan tersebut sebagai satu panduan dalam soal kerja, sudut peribadi itu semua tidak sama, tetapi insya-Allah dalam soal kerja beliau boleh teruskan legasi ayah sebagai Ahli Parlimen sebaiknya," katanya.

Pada PRK semalam, Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

-- BERNAMA