KUALA LUMPUR:Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 atau Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini jelas membuktikan keabsahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, perkara itu turut menzahirkan kemenangan moral kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menepis dakwaan kerajaan PN merupakan kerajaan 'pintu belakang'.

"Kalau Belanjawan 2021 diluluskan, ini bukan sahaja akan memberi kemenangan moral kepada PN, tetapi mampu mengukuhkan keabsahan kerajaan dan Muhyiddin di sebalik tuduhan kerajaan pintu belakang oleh Pakatan Harapan (PH).

"Ini juga menunjukkan berlaku perpecahan dalam kalangan Ahli Parlimen PH dan tidak mampu menumbangkan kerajaan PN menerusi penolakan RUU tersebut.

"Oleh itu, (selepas RUU ini telahpun diluluskan), mereka harus duduk diam dan tidak perlu mempertikaikan lagi perkara yang tidak rasional selepas ini termasuk isu kerajaan 'pintu belakang'," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.

BACA: RUU Perbekalan 2021 lulus di Dewan Rakyat

Dalam pada itu, Jeniri berkata, tindakan segelintir Ahli Parlimen sama ada dalam parti pembangkang mahupun kerajaan mengambil keputusan untuk menolak RUU itu disifatkan sebagai mempunyai agenda politik tertentu.

Ini kerana, menurut beliau, perkara itu hanya untuk memenuhi kehendak politik peribadi tertentu selain secara berterusan mahu menjatuhkan kerajaan PN.

"Apa yang boleh kita lihat, pihak yang menolak Belanjawan 2021 ini seperti mempunyai agenda peribadi tertentu seperti mana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan kerajaan PN tumbang.

"Saya nampak mereka hanya untuk bermain politik dengan mengambil kesempatan tertentu sedangkan Kementerian Kewangan telah mengambil cadangan dan input daripada mereka dalam RUU itu.

"Pelbagai cadangan dan input telah digunakan kerajaan yang diperoleh daripada pembangkang khususnya ketika sesi libat urus sebelum pembentangan RUU itu dibuat bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dan perubahan pada bacaan kali kedua khususnya melibatkan peruntukan yang banyak bagi kementerian tertentu.

"Selain itu, kerajaan PN juga dilihat bersifat terbuka dengan memanggil semua pemimpin politik daripada pembangkang untuk memastikan segala input yang dikemukakan mereka akan diketengahkan dalam RUU itu," katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Ia berlaku selepas dua percubaan pihak pembangkang untuk memanggil undian belah bahagian di peringkat akhir jawatankuasa dan sebelum bacaan ketiga, gagal.