KUALA LUMPUR: Anak muda perlu terus diberikan peluang dalam arena politik tanah air dalam memacu demokrasi yang lebih segar.

Menurut Pegawai Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid, generasi muda juga mempunyai idea dan pandangan yang bernas terutama dalam menyumbang kepada menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pasca pandemik nanti.

"Saya agak terkilan ramai rakan-rakan saya orang muda apabila Undi18 masih ditangguhkan tiada hala tuju yang jelas untuk direalisasikan.

"Banyak perkara kita perlu tambahkan lagi, memastikan anak muda memahami, merasai apa erti nilai demokrasi yang mereka perlu bawa dalam memperjuangkan hak mereka. Nasib mereka saat ini agak getir.

"Anak muda digelar 'lost generation', Malaysia perlu beri ruang lebih banyak kepada anak muda beri idea dan pandangan kepada negara memastikan PPN bergerak seiiring pasca pandemik," jelasnya kepada Astro AWANI.

Tambah Fakhrurrazi lagi, meskipun masih wujud pandangan skeptikal dalam sesetengah parti politik untuk memberi laluan terhadap anak muda, golongan itu dilihat tampil secara sukarela membantu masyarakat.

"Pertama, anak muda perlu melihat apakah mereka boleh lakukan kepada negara, saya agak kagum anak muda apabila mereka jadi barisan hadapan, mereka orang pertama ada program bantuan masyarakat.

"Semangat kesukarelawan agak tinggi walaupun mereka luahkan pandangan di laman sosial, mereka turun padang dan membantu masyarakat.

"Semangat ini faktor utama mengapa anak muda terlibat dalam politik agar semangat itu diterjemahkan dalam membuat dasar sekali gus memberikan impak kepada komuniti di peringkat daerah, negeri mahupun nasional," katanya lagi.

Justeru sempena Sambutan Hari Parlimen Sedunia yang disambut pada 30 Jun setiap tahun, beliau berharap agar lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang politik.

Ia diharap sedikit sebanyak dapat memberi tekanan kepada cara pemikiran politik lama untuk menerima pandangan golongan itu.

"Anak muda tidak boleh asingkan diri mereka daripada politik untuk memastikan politik berjalan lancar, kita perlukan lebih ramai dalam politik bukan di luar Parlimen.

"Sebab mereka akan berikan tekanan kepada politik lama supaya keluar menghasilkan tawaran politik yang lebih baik," katanya lagi.

Sehingga kini, penglibatan golongan itu dalam politik kira-kira hanya 12 peratus berbanding golongan berusia 40 tahun ke atas.