KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi membincangkan situasi Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Perkara itu dikongsikan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memaklumkan selepas perbincangan selesai, barulah keputusan akan diumumkan.

“Kita pun baru membaca surat yang dikeluarkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili.

“Kita dalam PN dan Bersatu, ada perbicangan yang akan dilakukan di peringkat parti dan Ahli Parlimen dalam masa terdekat.

[TERKINI] Ahli Parlimen Labuan sokong perdana menteri

“Saya yakin pihak parti akan membuat keputusan dan pengumuman yang sesuai dengan keputusan, selepas perbincangan tersebut diadakan,” katanya.

BACA: Ahli Parlimen Labuan isytihar sokong kepimpinan PM Anwar

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media di bangunan Parlimen pada Isnin.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan, Suhaili menzahirkan sokongan beliau kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua permasalah rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di kawasan itu.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dalam usaha beliau membantu rakyat Labuan melalui anak syarikat GLC Sabah dalam menyediakan peluang pekerjaan secara kecil-kecilan sejak mula mengemudi pucuk kepimpinan di Sabah.