BALING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menjalinkan kerjasama atau 'duduk' bersama Pas di dalam Perikatan Nasional (PN) kerana kedua-dua parti itu terbukti mempunyai keikhlasan dan tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat di negara ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan semua pihak juga sewajarnya menolak sebarang tindakan yang dibuat demi kepentingan diri sendiri terutama dalam mewujudkan satu kesatuan tanpa mengira fahaman politik demi masa depan negara yang lebih baik.


Dalam mencapai hasrat itu, perbuatan 'kata-mengata' antara satu sama lain juga perlu dielakkan.


"Saya sentiasa mahu melihat bahawa dalam negara (ini) pemimpinnya harus duduk dan bersatu, tidak kira dia Bersatu, Pas atau UMNO  sebab, dalam nak menentukan masa depan negara, kita harus tolak perkara yang hanya memikirkan kepentingan diri sahaja.

"Maka kalau nak menyatukan dia tidak boleh kata mengata antara satu sama lain, hari ini yang nampak kita boleh duduk dengan Pas kerana mereka boleh menerima dan bersetuju atau tidak bersetuju dalam beberapa perkara, ini membuktikan kita ada keikhlasan dan tanggungjawab bagi kepentingan rakyat di seluruh negara," katanya.

BACA: Pas khuatir kehilangan kerusi sedia ada jika PRU15 diadakan segera - Ahmad Zahid


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Kenduri Raya Bersatu Baling di Dataran Pejabat Bersatu Baling, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa kononnya pihak yang mahu menyegerakan pilihan raya umum (PRU) sebagai gila kuasa.

Sebaliknya dakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Pas khuatir kehilangan kerusi yang sedia ada dalam PRU ke-15.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama antara parti-parti politik pula, jelas Ahmad Zahid berkata BN bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti sebelum ataupun selepas PRU15.