KUALA LUMPUR:Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak sehingga kini masih belum memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu pelantikan Menteri Besar negeri itu.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pucuk pimpinan parti di negeri itu juga tidak menerima titah untuk menghadap Sultan Perak secara rasmi.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata demikian dalam kenyataan dua perenggan yang diedarkan kepada media pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Pas batal menghadap Sultan Perak

Ahmad Faizal meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 selepas gagal melepasti usul undi percaya terhadap kepimpinannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri berkenaan pada 4 Disember lalu.

Selain Bersatu yang belum menerima sebarang titah dari Istana Kinta, rakan sekutunya, Pas juga memaklumkan tidak akan menghadap Sultan Perak kerana tidak mempunyai sebarang keputusan untuk dipersembahkan.

Isu pelantikan Menteri Besar Perak masih belum memperlihatkan tanda-tanda akan reda berikutan tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata, situasi itu sekali gus gagal meyakinkan Sultan Perak untuk melantik Menteri Besar ke-14.