Bersatu utama anggota yang berkualiti - Rais Yatim

Bernama
Jun 22, 2019 14:15 MYT
Rais menjelaskan, dengan adanya pindaan dalam perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam perhimpunan yang dijadualkan berlangsung bulan depan, Bersatu akan lebih bertenga mencapai objektifnya. - Gambar fail
Keanggotaan yang berkualiti dalam parti menjadi keutamaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbanding kuantiti anggota, kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata keanggotaan berkualiti merujuk kepada anggota yang kenal dengan perlembagaan, budaya berparti dan bagaimana penting serta mustahaknya erti parti berkerajaan.
"Keanggotaan di Negeri Sembilan sekarang mencecah angka 20,000 orang, melibatkan lapan bahagian... ada bahagian yang sudah lama menjurus kepada keanggotaan lebih tinggi berbanding bahagian yang lain.
"Namun kami di peringkat pimpinan negeri rasa anggota ramai sahaja kurang erti, kami lebih minat keanggotaan berkualiti, mengenal perlembagaan dan budaya berparti," katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Aidilfitri PH-Bersatu Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Eddin Syazlee Shith.
Rais dalam pada itu menjelaskan dengan adanya pindaan dalam perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam perhimpunan yang dijadualkan berlangsung bulan depan, Bersatu akan lebih bertenga mencapai objektifnya.
-- BERNAMA
#ahli #ahli parti #Aidilfitri #berkualiti #Bersatu #budaya berparti #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #parti berkerajaan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #perhimpunan #Perlembagaan #pindaan #PPBM #presiden #Rais Yatim