Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu sidang media hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan bersama dengan PAS untuk diperhalusi.

Selain itu, beliau berkata, UMNO juga telah membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya memberi komitmen memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

"Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam (Rabu) di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional. Hasrat PPBM ini akan dibincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi," katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan parti berkenaan.

Beliau pada masa sama menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi Muafakat Nasional demi kepentingan rakyat dan negara.