Ketiga-tiga sayap parti UMNO membawa mesej penyatuan yang ditujukan untuk dua pemimpin tertinggi parti ketika menyampaikan ucapan penggulungan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin merayu agar Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak 'bercerai' dengan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak di mana tindakan itu bakal meruntuhkan parti Melayu itu.

Namun, beliau berkata, Pemuda UMNO tidak akan ragu-ragu untuk bangkit menentang pihak yang memilih untuk berpecah dari parti.

"Kami masih lagi menghormati Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden. Lihat cara beliau diraikan ketika masuk ke dalam dewan mesyuarat.

"Kita semua patut kembali dalam khemah besar Umno, jangan ada musuh dalam selimut," ," katanya ketika menyampai ucapan penggulungan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil menggesa semua pemimpin parti untuk merapatkan saf kepimpinan supaya tiada pihak lain mampu mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku dalam UMNO ketika ini.

"Kepada Muhyiddin, Shafie (Datuk Seri Shafie Apdal) dan bapa yang kita hormat, Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), bersamalah dalam UMNO, tidak ada parti lain yang sanggup perjuangkan hak orang Melayu dan Bumiputera," katanya dalam ucapan pergulungannya.

Pada masa sama, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut membawa mesej penyatuan buat pemimpin parti.

"Solidariti bersama pemimpin parti adalah penting dalam memastikan parti yang kita sayang ini tidak berpecah belah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di sini, hari ini.