KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti sama ada mencalonkan beliau atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti.

Tengku Zafrul menjelaskan, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang tawaran untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

"Saya boleh confirm saya tidak ada terima apa-apa tawaran untuk bertanding di mana-mana kerusi pun.

"Tetapi sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, saya akan terus membantu pucuk pimpinan di Selangor dan juga di persekutuan untuk memastikan kita menang di Selangor, itu yang lebih penting.

"Sama ada saya bertanding atau tidak bertanding, saya serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan kerana mereka lebih tahu.

"Saya akur dengan pucuk pimpinan parti tetapi yang pentingnya kita pastikan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menang," katanya selepas merasmikan majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan PKS 2022 CGC ke-28.

Sebelum ini nama Tengku Zafrul disebut-sebut akan bertanding di DUN Sungai Kandis namun difahamkan rundingan antara BN dan PH tidak mencapai kata putus.

Kegagalan mencapai persetujuan itu membuatkan UMNO berusaha meletakkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu di DUN Kuang atau Paya Jaras.