KUALA LUMPUR: Tiada sebarang dendam yang disimpan birapun pernah diaib dan dipenjara sebelum ini, ulang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar mengakui bukan mudah untuk beliau memaafkan, apalagi melibatkan maruah isteri dan anak-anaknya.

"Saya pun tak anggap itu mudah. Kadang-kadang geram juga, kadang-kadang rasa aku nak terajang, bukan tak ada, sebagai manusia kita ada.

"Tapi bila fikir-fikir balik macam mana kita nak rangkul kekuatan bawa perubahan atau nak selesaikan masalah (kalau simpan dendam)," kata kata Anwar melalui Facebook Live berjudul Sembang Spontan bersama selebriti Datuk Afdlin Shauki malam ini.

Ketua Pembangkang itu menjawab soalan Afdlin, bagaimana beliau boleh berjiwa besar memaafkan seteru politiknya sebelum ini.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata, pengajaran dipegangnya hasil daripada pengalaman itu ialah tidak membiarkan orang lain dizalimi pada masa akan datang.

"Bukan saya nak menganggap ini satu perkara ringan. Memang berat, sebab itu saya kata jangan dibuat kepada orang lain.

"Jadi ada orang tanya nak jadi pengajaran macam mana orang itu tidak dihukum. Sebab itu (saya kata), kalau dia bersalah kepada saya. Kamu seksa saya, saya boleh maafkan.

"(Tapi kalau) dia curi duit rakyat dia kena bayar balik. Dia lakukan jenayah, dia pukul orang setengah mati, orang itu kena dera... itu mesti ikut proses hukum.

"Jadi bukan saya boleh maafkan untuk semua orang, untuk diri saya sendiri saja (boleh)," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau membangkitkan isu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang didakwa perlahan, ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 9 Jun lalu.

"Saya bila sembah laporan kepada Yang di-Pertuan Agong, saya beritahu Tuanku... Ampun Tuanku, rakyat sekarang banyak yang mati... yang boleh dielak kalau vaksin awal.

"Tuanku kata (bertitah) saya (baginda) juga dapat maklumat dan sudah bagi tahu kepada kerajaan," katanya.