Barisan Nasional (BN) telah membentuk Kabinet bayangan untuk setiap kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi meningkatkan peranannya sebagai pembangkang di Parlimen.

Kabinet bayangan, yang menggunakan sistem Jawatankuasa Portfolio (JKP) itu, dibentuk hasil rundingan antara parti-parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata setiap JKP terdiri daripada pengerusi bersama melibatkan beberapa anggota Parlimen BN.

"JKP ini nanti akan melantik sekurang-kurangnya tiga lagi orang dalam kalangan profesional termasuk wanita dan pemuda khususnya barisan pelapis. JKP berperanan sebagai 'check and balance' (semak dan imbang) bagi setiap kementerian. Ia juga sebagai 'policy watch' (pemantau dasar) serta menggubal dasar alternatif menyaingi dasar PH," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

JKP itu akan melibatkan empat kluster dengan yang pertama ialah Kluster Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang, Sumber Manusia dan Keselamatan.

JKP Jabatan Perdana Menteri adalah di bawah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Razaleigh Hamzah.

JKP Dalam Negeri: Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr Adham Baba.

JKP Pertahanan: Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Datuk Zakaria Mohd Edris.

Kluster kedua ialah Kewangan, Ekonomi dan Industri antaranya dengan JKP Kewangan melibatkan Khairy Jamaluddin dan Arthur Joseph Kurup.

Kluster ketiga ialah Pendidikan, Sosial dan Budaya dengan JKP Pendidikan melibatkan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Idris Jusoh.

Kluster keempat ialah JKP Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan dengan JKP Komunikasi dan Multimedia antaranya melibatkan Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Tambah Annuar, semua JKP itu akan terlibat dalam penggubalan belanjawan alternatif yang diketuai oleh Khairy.

Selain itu, katanya anggota Parlimen pembangkang blok yang lain iaitu Gagasan Sabah, Gabungan Parti Sarawak dan PAS turut dialu-alukan menyertai JKP tersebut sekiranya mereka berhasrat untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Annuar turut mendesak Menteri Besar Johor agar mengambil tindakan tegas atas perilaku seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) atas tindakannya yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan baru-baru ini.

Annuar, yang juga Pengerusi Majlis Bahasa dan Budaya UMNO, mendesak agar kerajaan PH khasnya parti DAP untuk menyatakan pendirian terhadap isu tersebut.

Katanya, tindakan mengetepikan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan telah menghina Sultan dan kedudukan istimewa bahasa tersebut.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Anggota MBIP yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi majlis itu. -- Bernama