BN bertanding semua 28 kerusi pada PRN Melaka, 86 peratus muka baharu

Raja Hisyam Raja Zaid
November 6, 2021 03:28 MYT
BN yakin ujntuk bertanding di semua 28 kerusi tanpa kerjasama dengan parti lain. - Foto fail
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional meletakan calon di semua 28 kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini dengan menampilkan 86 peratus muka baharu.
Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Mohamad Hassan pagi tadi.
“Sukacita saya ingin maklumkan Barisan Nasional (BN) akan pergi berseorangan, tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti dan kita akan menggunakan logo kita sendiri sebagai sebuah parti yang melambangkan dan mewakili kemajmukan masyarakat yang di dalam negara kita ini,” katanya.
Jelasnya ia sekaligus menutup desas-desus untuk menyaksikan BN akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain pada pilihanraya kali ini.
“Sehubungan itu BN akan menurunkan 28 calon di 28 Dewan Undangan Negeri di PRN Melaka. Pembahagian kerusi pun kita buat dengan teliti dengan cermat, dengan persetujuan walaupun bertengkar, walaupun bergaduh-gaduh, biasalah nak bahagi kerusi ini kan.
“Ada orang tidak mahu langsung berganjak, ada orang boleh berganjak, macam-macam. Tetapi inilah merupakan keunikan BN. Akhirnya kita bersetuju untuk setiap parti mewakili parti masing-masing," jelasnya.
Tambah beliau UMNO akan meletakan calon di 20 kerusi yang dipertandingkan manakala MCA akan meletakkan tujuh calon sementara MIC akan mengekalkan satu kerusi pada PRN tersebut.
Bagi PRN Melaka kali ini katanya BN akan membawa tema ‘Kestabilan demi Kemakmuran’ bagi menawan negeri itu nanti.
BACA: PRN Melaka: Calon BN lepasi tapisan keselamatan - Mohamad
“Pengundi-pengundi berfikirlah untuk memberikan kepercayaan kepada parti yang boleh membawa kestabilan kepada negeri Melaka selepas pilihanraya," jelasnya.
PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November ini selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu berikutan kemelut politik yang melanda.
#Barisan Nasional #PRN Melaka #Mohamad Hassan #calon