MASJID TANAH: Calon-calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini sudah melepasi tapisan keselamatan dan kriteria calon.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, beliau yakin, mereka yang diketengahkan pada PRN kelak akan diterima pengundi memandangkan kesemuanya sudah lama menabur khidmat kepada masyarakat.

“Semua sudah lepasi tapisan keselamatan. Done! mereka ini (calon) pun bukan sembarangan orang… mereka juga pemimpin di peringkat bahagian dan sebagainya, tetapi mereka ini dahulunya lama duduk di bawah, sebab ramai yang sudah tiga penggal.

“Semua (calon) akan ada di Kuala Lumpur esok sebab kita nak buat proses mengisi borang pencalonan… rumit dokumentasinya dan akan ada peguam kita memantau dan meneliti supaya tidak ada kesalahan teknikal dalam pengisian borang calon itu nanti,” kata Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan UMNO Negeri Sembilan sebagai negeri angkat kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning di di Villa D'Aqua di Kampung Pulau di sini, pada Jumaat.

BACA: PRN Melaka: Calon BN tandatangani SD elak lompat parti - Mohamad

Sementara itu, Mohamad juga berterima kasih kepada semua penyandang kerusi yang tidak dicalonkan semula dalam PRN ini dan yakin mereka berlapang dada dan sedia berundur bagi memberikan laluan kepada muka baharu.

Beliau berkata, langkah berkenaan sekali gus membolehkan parti melakukan proses meremajakan dan mentransformasikan parti seperti yang dihasratkan sebelum ini.

"Selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya, saya mengambil peluang ini untuk menterjemahkan hasrat parti dalam melakukan proses peremajaan dan peluang kepada pelapis-pelapis untuk ambil tempat.

“Kita perlu memberi peluang pelapis muda. Ini tidak ada masalah kerana semua (penyandang) pun ada di sini dan mereka (yang digugurkan) berjanji dan telah pun menyerahkan tugas peringkat DUN kepada bakal calon,” tambahnya.

BN dijadual mengumumkan calon pada esok secara maya di Kuala Lumpur dengan menampilkan kira-kira 90 peratus muka baharu.