Skip to main content

Politik

BN-Pas bukan kerjasama solid, Pas tiada calon PM layak, UMNO pula terpalit rasuah - Penganalisis

Dr. Jamaie berkata, gabungan parti itu juga gagal menamakan siapa calon perdana menteri kerana Pas tidak mempunyai calon yang layak dan boleh diterima semua kaum, manakala calon daripada UMNO pula terpalit rasuah. - Gambar hiasan
Dr. Jamaie berkata, gabungan parti itu juga gagal menamakan siapa calon perdana menteri kerana Pas tidak mempunyai calon yang layak dan boleh diterima semua kaum, manakala calon daripada UMNO pula terpalit rasuah. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama BN dan Pas bukan satu bentuk kerjasama politik yang solid, sebaliknya hanya bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, gabungan parti itu juga gagal menamakan siapa calon perdana menteri kerana Pas tidak mempunyai calon yang layak dan boleh diterima semua kaum, manakala calon daripada UMNO pula terpalit rasuah.

Tegasnya, Pas juga mungkin melihat isu pemimpin rasuah ini bukan sesuatu yang kondusif kepada parti itu.

“Kalau Pas setuju dengan calon yang ada terpalit dengan rasuah daripada UMNO, mereka sebenarnya pun tidak boleh terima.

“Pas juga sebenarnya tidak ada calon yang layak untuk menjadi perdana menteri, maksud calon yang layak itu calon yang boleh diterima oleh pelbagai kaum bukan hanya kaum Melayu, Islam tetapi semua kaum boleh diterima.

“Tetapi kalau mereka hanya berasaskan kepada Melayu dan Islam sahaja, bagaimana dengan kaum-kaum lain lebih-lebih lagi Sabah dan Sarawak. Jadi sebenarnya calon itu tidak ada dan mereka seolah-olah melengahkan masa untuk mengumumkan apabila terdesak nanti, tetapi sebenarnya calon itu tidak ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua parti antara BN dan Pas saling tidak boleh menerima calon daripada mana-mana parti itu dan polemik cukup besar bakal berlaku nanti.

Ujarnya, jika gabungan itu menang PRU16, persoalan itu bukan sahaja akan menjadi konflik tetapi menghuru-hara kedua-dua parti ini sendiri.

“Sebab antara kedua parti ini mereka tidak pernah setuju untuk siapa yang akan menjadi perdana menteri. Bagi Pas, mereka hendak menjadi perdana enteri, bagi UMNO mereka tidak akan bagi kepada Pas untuk jadi perdana menteri.

“Jadi dari sini rakyat kena menilai bahawa ini bukan penyatuan ummah, tetapi satu kerjasama untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan demi untuk melihat kerajaan Anwar Ibrahim ini tumbang,” katanya.

Sebab itu, jelasnya, mereka tidak melihat apa yang dilakukan Anwar sekarang ini sebagai satu yang positif tetapi tetap mahu menumbangkan Kerajaan Perdana Menteri.

Jadi, katanya, rakyat harus membuka mata dan bertanya apakah keperluan mahu menggantikan perdana menteri seandainya Anwar sudah menjadi pemimpin yang baik melalui tadbir urus yang bagus dengan tekad memerangi rasuah.

“Kalau betul hendak digantikan, siapa calonnya? Kalau daripada Pas, siapa? Kalau daripada UMNO, siapa? Oleh kerana kedua-dua parti ini tidak ada calon lain, pada pandangan saya eloklah Anwar Ibrahim terus dicalonkan oleh rakyat untuk menjadi perdana menteri satu penggal ke depan,” jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement