MELAKA: Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi majoriti tiga perempat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, wajib dipertahankan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata BN mempertaruhkan prestasi cemerlang kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai faktor penarik atau “feel good factor”, bagi menghadapi PRN Melaka yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Advertisement
“Perubahan dan kejayaan ini harus dipertahankan, ia mesti dijadikan ‘feel good factor’ bagi terus menggamit dukungan kepada calon-calon yang akan kita kemukakan (Pada PRN Melaka nanti),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Seluruh Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata parti itu perlu menyantuni semua lapisan masyarakat, merangkumi 63 peratus pengundi Melayu dan 37 peratus pengundi bukan Melayu bagi mengekalkan mandat pentadbiran di negeri itu.
“Penyantunan ini wajib dilakukan bagi menyelaraskan prestasi yang telah diperlihatkan oleh kerajaan negeri dan kita mesti memperlihatkan prestasi dari segi parti politik untuk menggamit dukungan daripada pengundi-pengundi dari pelbagai kaum di negeri Melaka,” katanya.
-- BERNAMA