PONTIAN: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja keras menyekat 'gelombang hijau' Perikatan Nasional sebelum menjadi ancaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pas juga berada di Johor dan mereka turut cuba memenangi PRK bagi mendapat sokongan rakyat.

Jelasnya, Pas kini hanya mempunyai satu kerusi di DUN Johor iaitu DUN Maharani yang diwakili Abdul Aziz Talib.

"Pas ini ada di mereta tempat termasuk di Johor, dan mereka tetap mencuba.

"Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di Selangor melanda Johor. Di mana dahulu Pas cuma ada lima kerusi, tetapi sekarang bersama PN mereka ada 22 kerusi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada program Pemimpin Bersama Masyarakat Madani peringkat DUN Pulai Sebatang di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pontian di sini, pada Sabtu.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I menegaskan, penjelasan perlu dibuat tentang penubuhan Kerajaan Perpaduan dan sebab DAP berada dalam gabungan kerajaan yang dibentuk BN dan PH itu bagi menepis gelombang hijau.

"Jentera BN dan PH perlu buat penjelasan tentang dua perkara iaitu sebab Kerajaan Perpaduan ditubuhkan kerana titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara.

"Seterusnya mengenai DAP yang berada di gabungan ini. Kedua-dua perkara ini saya lihat tidak difahami oleh pengundi sewaktu pilihan raya negeri (PRN) enam negeri yang lalu kerana kurang penjelasan diberikan," katanya.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor memaklumkan 24 bahagian UMNO di negeri ini akan menjadi bapa angkat kepada setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di UMNO Bahagian Bakri dan Pulai.

"Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengetuai jentera pilihan raya BN, manakala saya akan bertindak di Parlimen Pulai," katanya. - Sinar Harian