PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mendengar dan meneliti permohonan dibawa oleh pimpinan negeri Pulau Pinang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata, beliau menjangkakan Majlis Presiden akan membuat ketetapan tentang perkara itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam akan datang.

Katanya lagi, buat masa ini keputusan tidak membubarkan DUN bagi dua lagi negeri ditadbir PH, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan masih tidak berubah.

“Kita ada bincangkan perkara itu (permohonan Pulau Pinang), dan sekarang ini ada beberapa perkara khusus yang sedang diteliti. Dalam masa terdekat pimpinan PH sama ada di Majlis Presiden, atau peringkat negeri akan buat pengumuman.

“Dia ada permintaan daripada rakan-rakan dari Pulau Pinang, maka perkara itu dibawa untuk dibincangkan. At this point (Selangor dan Negeri Sembilan) belum (sebarang) ada perubahan,” katanya lagi.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR, berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah menghantar cadangan agar negeri itu menjalani pilihan raya serentak dengan PRU15.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, PH Pulau Pinang membuat cadangan tersebut selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas rakyat yang tidak senang untuk keluar mengundi dalam pilihan raya berasingan.

Selain itu, beberapa pihak berpandangan, ia juga akan mengakibatkan cabaran yang lebih hebat untuk PH Pulau Pinang mempertahankan negeri itu, sekiranya pilihan raya negeri diadakan berasingan, mengambil kira faktor tumpuan jentera parti pihak lawan daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Majlis Presiden juga menyentuh mengenai permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menyertai gabungan itu secara sah, dan keputusan itu juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu beliau berkata, mesyuarat juga menyentuh mengenai calon, manifesto, selain bersetuju mempercepatkan tarikh Konvesyen PH iaitu dari 29 kepada 20 Oktober ini.