KUALA LUMPUR: Tempoh pembubaran Parlimen tidak seharusnya berubah, sebaliknya dikekalkan sehingga tempoh penggal tamat iaitu selepas lima tahun.

Penganalisis politik Prof Wong Chin Huat berpandangan, ia bagi memastikan Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal berlangsung mempunyai satu tarikh tetap.

Selain memberikan tarikh PRU yang lebih terjangka, beliau menambah Parlimen berpenggal tetap dilihat memberi peluang kepada Jemaah Menteri untuk melaksanakan perancangan yang ditetapkan, membaiki kestabilan politik negara serta meyakinkan para pelabur.

Begitu pun, Chin Huat berkata pembubaran Parlimen awal boleh dilakukan sekiranya Perdana Menteri hilang kepercayaan atau dua pertiga ahli Parlimen berpandangan pilihan raya perlu diadakan dalam apa-apa sebab sekali pun.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan sekarang, kuasa untuk memohon untuk pembubaran awal terletak di tangan Perdana Menteri. Tetapi kuasa untuk memberikan perkenan itu terletak kepada Yang Di-Pertuan Agong. 

"Ini menyebabkan keadaan sekarang dimana tarikh pilihan raya umum tidak dapat ditetapkan dalam satu lingkungan yang lebih singkat.

"Apa yang seharusnya kita lakukan adalah kita mulakan satu konvensyen Perlembagaan yang baharu. Konvensyen maksudnya kita tak perlu membuat pindaan Perlembaan, tetapi bermula dengan satu amalan baharu iaitu kita biar Parlimen sekarang berlangsung sampai ke hujung penggalnya iaitu pada 15 Julai akan datang.

"Pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya 13 September akan datang tetapi dijangka dihabiskan dalam lingkungan tiga hingga enam minggu selepas pembubaran. Jadi kita tahu lebih kurang masa itu, dan sebaik sahaja ini menjadi satu amalan baharu, akhirnya kita mungkin boleh pinda Perlembagaan untuk memastikan ini sentiasa berlaku," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Isnin.

Pensyarah dari University Sunway itu menambah pada masa akan datang, rakyat juga harus menerima bahawa pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di 13 negeri tidak berlaku dalam masa yang sama.

Situasi itu, katanya boleh berlaku melibatkan Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, dan tempoh berakhir penggal bagi empat negeri itu adalah tidak sama dengan  Persekutuan.

"Jadi kita perlu terima bahawa dalam jangka masa panjang kita mungkin ada beberapa kelompok negeri yang adakan pilihan raya lebih kurang masa yang sama, dan kelompok lain dalam masa yang lain serta pilihan raya Persekutuan pada tarikh yang lain, mungkin dengan sekelompok negeri sahaja (tidak dengan negeri yang mengadakan PRN).

"Jadi kita harus terima itu dan ini tidak harus dilihat sebagai pembaziran kerana pertama, kita memang perlu menghormati autonomi DUN, dan kedua apabila tarikh PRN dan PRU dibezakan, ia sebenarnya memberi rakyat peluang menyatakan pandangan dan keutamaan mereka di tengah penggal kerajaan Persekutuan.

"Ini sebenarnya boleh memberikan maklum balas supaya ahli-ahli politik di peringkat Persekutuan mengambil berat tentang apa yang dikehendaki rakyat dan membuat pengubahsuaian yang perlu," ujarnya lagi.

Chin Huat juga berkata, adalah tidak adil untuk negeri-negeri yang telah melaksanakan PRN untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Persekutuan.

"Ini bermakna kita sering terpaksa memendekkan penggal kepada setengah kerajaan negeri,

"Ini bukan sahaja membazirkan wang kerana kita mengadakan pilihan raya lebih kerap tetapi juga tidak adil kepada kerajaan-kerajaan negeri yang mungkin mempunyai perancangan mereka, tetapi tidak dapat dilangsungkan semata-mata untuk pilihan raya antara Persekutuan dan Negeri berjalan serentak," ujarnya lagi..