KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak akan sesekali mendesak penyandang kerusi parlimen daripada parti itu untuk mengundurkan diri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tegasnya, setiap penyandang yang melepaskan sesuatu kerusi adalah atas kerelaan selain melihat kepada keperluan calon baharu mewakili kawasan tersebut.

Bagaiamanapun, tanpa menyebut sebarang nama atau kawasan, Abang Johari mengatakan terdapat ahli Parlimen daripada GPS telah menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan niat bertanding pada PRU15.

“Satu perkara yang baik di dalam PBB ini adalah apabila seseorang wakil rakyat itu sudah merasakan perkhidmatanya mencukupi, maka mereka akan mengundur diri secara sukarela.

“Hal ini untuk memberikan laluan kepada calon yang lebih muda tanpa paksaan, soal siapa, belum boleh diberitahu, beduk belum berbunyi (belum tahu bila pilihan raya),” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah, Cek Pampasan Tanah dan Kunci Rumah Darul Hana di sini pada Sabtu.

Jelas Premier Sarawak itu lagi, kerajaan negeri kini meletakkan sepenuhnya aspirasi untuk membangunkan ekonomi rakyat melalui pembentukan institusi kewangan yang kukuh serta pendidikan percuma bagi anak-anak Sarawak untuk jangka masa panjang.

“GPS hanya fokus pada pembangunan, kita sudah melalui pilihan raya negeri dan kini kerajaan negeri mahu membentuk dana berdaulat untuk rakyat.

“Antara sasaran saya yang paling unggul adalah untuk memberikan pendidikan percuma buat anak-anak di institusi pengajian tinggi di negeri ini, itu niat saya,” ujarnya lanjut.

Untuk rekod, GPS mempunyai 19 Ahli Parlimen di Sarawak dengan 13 kerusi PBB, tiga kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), dua kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) serta satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Sementara itu pada 6 Ogos lalu, PBB turut mendedahkan telah menerima permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin untuk menyertai parti itu tanpa sebarang syarat.