KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa budaya rasuah dan politik wang dalam UMNO sudah lama menular terutamanya ketika era pentadbirannya.

Bekas Presiden parti Melayu itu menjawab soalan Shahril Hamdan dalam podcast Keluar Sekejap, mengenai persepsi bahawa apa yang berlaku dalam UMNO ketika ini bermula pada era pentadbirannya.

Episod terbaharu podcast Keluar Sekejap itu disiarkan hari ini, dan turut dihoskan oleh Khairy Jamaluddin.

Pada 1993, Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri pada era pentadbiran Dr Mahathir selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba.

Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO kemudian mengajukan soalan bahawa Dr Mahathir sekurang-kurangnya perlu mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku itu.

"Nak suruh saya ambil tanggungjawab boleh, tetapi hakikatnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim perkenalkan rasuah sebagai satu cara untuk mendapatkan populariti sehinggakan (Allahyarham Tun Abdul) Ghafar Baba, yang terkenal di Sabah, cuma dua bahagian sahaja yang menamakan Ghafar Baba sebagai calon Timbalan," tambah Dr Mahathir.

Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bertanya mengapa Dr Mahathir tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengekang rasuah, selepas dakwaan aktiviti berkenaan berlaku.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan bahawa beliau tiada kuasa untuk mengarahkan perkara itu kerana ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkaitan.

"Itu kerja pegawai bukan kerja saya. Mereka bila nampak sesuatu itu salah, dia tak perlu tunggu Perdana Menteri kata pergi tekan itu (orang yang terlibat), itu tak boleh.

"Itu kerja polis dan anti rasuah (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Mereka yang sepatutnya mengambil tindakan," tambah Dr Mahathir.

Dalam masa yang sama, beliau juga tidak bersetuju dengan pendekatan pemindahan tunai bagi membantu golongan susah, selain menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah sama dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"BR1M kononnya datang daripada kerajaan... Kerajaan tak ada duit sebab itu dia (Datuk Seri Najib Razak) pinjam RM42 bilion. Di mana pergi duit itu? Sebab itu akhirnya dia (Najib) didapati bersalah (menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd)," dakwa Dr Mahathir.