Calon PM ke-9: Masa hantar surat akuan bersumpah tamat 4 petang tadi

Hasimi Muhamad
Ogos 18, 2021 08:12 MYT
Surat akaun tersebut boleh dihantar secara emel, faks dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Masa untuk semua ahli Dewan Rakyat menghantar Surat Akuan nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi telah tamat tepat pukul 4 petang, hari ini.
Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa agar kesemua ahli Dewan Rakyat mengemukakan surat akuan berkenaan secara bertulis dan disahkan benar.
Surat akaun tersebut boleh dihantar secara emel, faks dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp.
Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Azhar dalam notis tersebut turut memaklumkan serahan surat akuan melalui tangan tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Pelan Pemulihan Negara Fasa (PPN) 1 dan juga untuk mengelakkan penularan COVID-19.
Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi oleh Istana Negara mengenai nama dan majoriti ahli Dewan Rakyat yang dipilih.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.
BACA LAPOR LANGSUNG: Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?
Bagaimanapun, seorang Ahli Parlimen BN dilaporkan tidak menandatangani surat akuan itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.
Sementara itu, kesemua 18 ahli Dewan Rakyat dari Pas bersetuju untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.
BACA: Calon PM ke-9: Pas kini setuju sokong calon pilihan BN, Ismail Sabri
Sebelum ini, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat semalam (Selasa) memiliki 105 sokongan ahli Parlimen.
Al-Sultan Abdullah hari ini, bertitah bahawa Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
BACA: PM terpilih menerusi SD perlu kemuka usul undi percaya di Parlimen - Agong
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan satu Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu akan turut diadakan pada Jumaat ini bagi membincangkan isu semasa.
#Perdana Menteri #Dewan Rakyat #PM9 #Istana Negara #Muhyiddin Yassin #surat akuan bersumpah