Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi bayangan telah mencalonkan Ahli Parimen dari parti itu sebagai Perdana Menteri baharu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ahli PKR selepas sesi menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

“Alhamdulillah kami dari Ahli Parlimen Keadilan pada pukul 11 pagi memulakan proses memberi maklum balas kami berhubung calon Perdana Menteri.

“Itulah yang kami namakan sebentar tadi (calon Perdana Menteri). Kami tak tahu, yang saya diberitahu (calon Perdana Menteri) adalah daripada Keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai menghadap Yang Di-Pertuan Agong bagi sesi temu bual bersama baginda, pada Rabu.

Meskipun tidak memaklumkan secara jelas nama calon Perdana Menteri, ia dipercayai merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Anwar mendedahkan bahawa beliau merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri itu pada Isnin.