Calon PRU15: "Tak letak Dr Adham di Tenggara satu malapetaka besar" - Nasaruddin

Hilmi Malik
November 1, 2022 06:36 MYT
Nasaruddin (tengah) bercakap sidang media di Pejabat BN Bahagian Tenggara pada Selasa. - Foto Astro AWANI
TENGGARA: Barisan Nasional (BN) Tenggara memohon agar pucuk pimpinan parti itu mengekalkan penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Menurut Timbalan Pengarah BN Tenggara, Nasaruddin Ahmad, pihaknya berpendapat Dr Adham merupakan satu-satunya calon tunggal yang layak untuk bertanding di kawasan itu.
“Kami di pihak BN Tenggara sebulat suara untuk hanya bawa satu nama (Dr Adham) dan kami mengharapkan pihak pucuk pimpinan BN dan UMNO untuk melihat perkara ini.
“Kami bawa suara di Tenggara dan ini bukan atas dasar untuk lobi tak tentu pasal kerana beliau memang selayaknya untuk jadi wakil rakyat di Tenggara,” katanya ketika sidang media di Pejabat BN Bahagian Tenggara pada Selasa.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Dalam pada itu, Nasaruddin turut menzahirkan kebimbangan sekiranya terdapat calon lain yang bakal dinamakan untuk bertanding di kawasan itu.
Ini termasuk aspek untuk mendapatkan kemenangan BN di kawasan itu yang sebelum ini dipertahankan Dr Adham selama dua penggal.
“Saya bimbang pengumuman yang akan dibuat malam ini sekiranya tiada nama Dr Adham ia mungkin akan ada malapetaka lebih besar di Tenggara,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, wujud desas desus mengatakan bahawa kemungkinan nama Dr Adham tidak lagi bertanding di bawah kerusi Tenggara.
Kepimpinan BN dijadual mengumumkan barisan calon parti itu yang bakal bertanding pada PRU15 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.
#Calon PRU15 #Dr Adham Baba #PRU15 #Malaysia Memilih