Contohi sikap PM yang masih utamakan hal parti biarpun sibuk urus negara - Wan Azizah

Setiap kali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat, Dr Mahathir tidak pernah gagal hadir.

Wan Azizah nasihatkan agar sikap Dr Mahathir yang masih mengutamakan urusan parti dijadikan contoh. - Gambar fail | Astro Awani
Semua pemimpin parti politik dinasihatkan mencontohi sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih memberikan keutamaan kepada parti dalam kesibukannya mentadbir negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Wan Aziah, setiap pemimpin parti politik perlu mengutamakan perkara-perkara melibatkan parti masing-masing dalam kesibukan menjalankan tugas untuk negara.

"Kalau kita lihat sebagai satu rujukan atau contoh perdana menteri sendiri yang telah berpengalaman selama 22 tahun dan sekarang ni sekali lagi memegang teraju, masih lagi memberikan ruang untuk hal parti.

"Sebab kita naik kerana parti, jadi bagus kalau kita kuatkan parti kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan malam bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI) di Pusat Konvensyen Setia City, pada Selasa.

Beliau diminta mengulas tentang sikap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat PKR sejak November lepas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, Mohamed Azmin tidak hadir ke mesyuarat MPP dan mesyuarat Biro Politik parti itu sejak pemilihan parti pada November 2018 dan tidak menyatakan sebab atas ketidakhadirannya.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin juga tidak hadir ke pemukiman PKR yang diadakan di Port Dickson dan beliau dijadual menyampaikan ucapan pada program tersebut.

Mengulas mengenai pergeseran dalam PKR yang dibimbangi banyak pihak boleh memusnah parti, Wan Azizah berkata setiap parti akan berdepan cabaran tersendiri.

"Kita ada sedikit masalah dengan disiplin, tetapi kita sudah berdepan cabaran sebelum ini terutama ketika presiden dalam penjara.

"Ada ketika tiada siapa yang rasa kita akan berjaya. Kita dikatakan parti nyamuk," katanya lagi.

Jelas beliau, setiap masalah dan cabaran yang dihadapi akan membuatkan PKR bertambah matang dan kuat.