KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan tindakan kerajaan melanjutkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dakwanya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan antara yang kuat menentang Azam Baki termasuk dengan turun ke jalanan. 

"Ini dah kali kelima dan keenam saya buat laporan polis dan buat sidang media. Hal sama melibatkan SPRM yang mana kita tahu kontrak Azam Baki disambung semula satu tahun agak mengejutkan, kerana kita tahu golongan yang menentang Azam Baki itu ialah Perdana Menteri.

"Turun ke jalan raya berhimpun dengan menteri-menteri yang ada termasuk Rafizi Ramli yang benar-benar menentang Azam Baki. Tapi kali ini semua pertuduhan, tohmahan, dakwaan kepada Azam Baki dibersihkan akibat pelanjutan kontrak tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada Jumaat. 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua SPRM dilanjutkan setahun lagi, berkuat kuasa 12 Mei.

Azam dilantik mengetuai SPRM pada 9 Mac 2020 susulan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).