KUALA LUMPUR: Kenyataan Pas yang diumpamakan seperti pelacur yang dilaporkan dikeluarkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilihat sebagai isu terpencil kerana perjuangan UMNO dan Pas kini tertumpu kepada penyatuan Melayu dan Islam.

Justeru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii menyifatkan sentimen seperti keikhlasan dalam berpolitik tidak perlu dipersoalkan dalam politik era yang baharu.

"Pendekatan merapatkan saf itu penting sebelum kita melangkah ke pilihan raya. Saya percaya kalau kita tidak ada kesatuan ini, orang Melayu akan berhadapan dengan masalah besar terutama apabila kita lihat apa yang terjadi selama 22 bulan Pakatan Harapan menerajui kerajaan.

"Agama kita dihina, bangsa kita dipijak. Itu semua berpunca daripada perpecahan orang Melayu. Jadi saya harap tidak adalah kenyataan provokasi yang menggunakan bendera UMNO kerana kita mahukan perdamaian.

"Saya percaya kenyataan itu bersifat individu dan Pas sendiri tentu faham bahawa UMNO dan Pas saling memerlukan," katanya kepada Astro AWANI.

BACA: 'Kami rela dituduh pelacur demi pertahankan perpaduan ummah' - Pemuda Pas Selangor

Tambahnya, politik Muafakat Nasional ketika ini berlandaskan mencari persamaan dan mengetepikan perbezaan, namun tentunya ada cabaran tersendiri memandangkan UMNO dan Pas 'terpisah' selama 60 tahun sebelum ini.

"Bukan mudah nak buang kuman atau virus yang tertanam selama 60 tahun. Sebab itu kita kena teruskan dengan prinsip penyatuan terutama apabila wujud pandangan-pandangan terpencil ini, kena dinilai dan tak boleh ambil begitu sahaja.

"Contoh kalau nak mainkan sentimen keikhlasan, kita boleh persoalkan pada semua orang. Yang penting, tujuan kita dalam memimpin parti, kita boleh cari titik pertemuan untuk orang Melayu dan Islam bersatu yang akhirnya akan membawa kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang," ujarnya.

Tengku Razaleigh, dalam wawancara dengan sebuah portal berita melabelkan Pas sebagai "pelacur politik" yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum akan datang.

Veteran UMNO itu menyifatkan tindakan Pas dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sebagai bukti parti berkenaan tidak boleh dipercayai.