Skip to main content

Politik

Dakwaan Muhyiddin pengasas PN hanya ‘tahyul’ - Wan Saiful

Muhyiddin Ronald - AWANI
Wan Saiful (foto) berkata dakwaan berkenaan mengabaikan hakikat bahawa PN ditubuhkan secara kolektif menerusi penglibatan pelbagai pihak, bukannya hasil usaha seorang individu semata-mata. -Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengasas Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai “tahyul” yang memesongkan fakta sebenar penubuhan gabungan itu.

Bekas Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dakwaan tersebut mengabaikan hakikat bahawa PN ditubuhkan secara kolektif melalui penglibatan pelbagai pihak, dan bukan hasil usaha seorang individu semata-mata.

Menurut Wan Saiful, dakwaan berkenaan bukan sahaja mengabaikan peranan pemimpin daripada beberapa parti yang terbabit dalam proses pembentukan PN, malah tidak melihat sumbangan individu yang merangka idea, konsep serta identiti gabungan itu sejak peringkat awal.

Tambahnya, senarai pemimpin yang menghadiri mesyuarat penubuhan PN pada 29 Julai 2020 di Menara Parlimen yang kini tular membuktikan gabungan berkenaan dibentuk secara kolektif menerusi penglibatan wakil daripada Pas, BERSATU, Gerakan dan MIC.

"Jelas sekali, yang hadir dalam mesyuarat yang akhirnya melahirkan PN adalah 12 orang yang merangkumi parti Pas, BERSATU, Gerakan dan MIC.

"Sudah sudahlah usaha menjadikan Muhyiddin sebagai dewata raya yang dipuja-puja. Lebih banyak tahyul yang dibawa, lebih malu nanti jadinya," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Wan Saiful turut mendakwa idea asal penubuhan PN dan penggunaan nama gabungan itu tidak melibatkan Muhyiddin, sebaliknya dicetuskan beberapa individu lain yang mengemukakan cadangan berkenaan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, terdapat individu yang menandatangani surat cadangan penubuhan PN kepada Dr Mahathir, selain seorang lagi yang menyediakan dokumen cadangan setebal 38 muka surat mengenai pembentukan gabungan tersebut.

Menurutnya, dua individu lain pula berperanan mereka bentuk logo PN yang digunakan sehingga hari ini, manakala cadangan logo berbentuk pokok yang dikemukakan Muhyiddin tidak diterima.

"Saya sengaja tidak mahu sebut nama enam orang ini sebab saya belum minta kebenaran dari mereka namun, saya harap individu ini sendiri tampil mematikan tahyul yang cuba dibawa oleh Bersatu ini.

"Kalau orang yang menandatangani surat 38 muka surat itu boleh dedahkan kandungan surat tersebut lagi baik," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan selepas Pas memutuskan menamatkan kerjasama dengan Bersatu, Isnin lalu, beberapa pemimpin kanan Bersatu menggesa Muhyiddin yang juga seorang pengasas kembali menerajui PN.

Namun, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan gabungan itu bukan milik mana-mana parti secara mutlak, sebaliknya ia ditubuhkan atas dasar muafakat dalam kalangan parti pengasasnya.

 

Must Watch Video

Advertisement