Lebih seratus Ketua Cawangan UMNO bahagian Kinabatangan didakwa meletak jawatan dan keluar parti di Sandakan.

Wakil Ketua Cawangan UMNO Kinabatangan, Mahmod Hasan berkata mereka mengambil tindakan itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan ahli Majlis Tertinggi yang menggantung keahlian dan jawatan Datuk Seri Shafie Apdal.

Mahmod mendakwa akan lebih ramai ketua cawangan dan ahli keluar UMNO dalam tempoh terdekat.

"Kami daripada ahli-ahli UMNO P187 Kinabatangan meletakkan jawatan daripada ahli UMNO Kinabatangan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan ahli MT yang telah menggantungkan keahlian Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Bahagian dan Naib Presiden UMNO," kata Mahmod

Katanya, kepimpinan Shafie Apdal adalah berjiwa rakyat dan memahami keperluan rakyat.

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Bung Mohktar Radin berkata tindakan ahli UMNO keluar parti tidak menjejaskan kekuatan UMNO Sabah secara keseluruhannya.

Beliau pada masa sama menafikan lebih seratus Ketua Cawangan yang keluar parti.

"Sebenarnya yang keluar parti itu Ketua Cawangan dan mungkin cuma satu orang atau pun saya tengok macam semua ahli dalam satu cawangan dan selebihnya staf yang bekerja dengan ADUN Sukau.

Tindakan yang diambil segelintir ahli UMNO itu tidak akan melemahkan parti.

Sebaliknya menurut beliau pemimpin UMNO Sabah mempunyai hubungan yang kuat dengan ahli di peringkat akar umbi.

“Mahmod ini dia memang suka masuk parti keluar parti, demikian juga yang lain-lain. Saya kenal pasti satu-satu sebetulnya dan mereka tidak ada pengaruh diperingkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO untuk akur dengan sebarang keputusan bagi memastikan kelangsungan parti dan tidak menyuarakan ketidakpuasan hati di khalayak umum.