Dakwaan UMNO penyebab MN tertangguh hanya hipotesis, fatamorgana - Ahmad Zahid

Fareez Azman
Julai 31, 2022 05:19 MYT
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, dakwaan bahawa UMNO menjadi penyebab Muafakat Nasional hanya bersifat hipotesis dan fatamorgana semata-mata. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya UMNO adalah penyebab penubuhan Muafakat Nasional (MN) tertangguh hanya bersifat hipotesis dan fatamorgana (khayalan) semata-mata, tegas Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, realiti kepada kegagalan MN bukan berpunca daripada BN dan UMNO yang telah menawarkan pendamaian dengan pihak berkepentingan lain dalam MN, namun, maklum balas yang diterima sebaliknya.
Justeru, kata Ahmad Zahid, adalah tidak wajar untuk UMNO dipersalahkan semata-mata.
"Itu merupakan satu hipotesis dan satu 'fatamorgana' sebab kita pernah menawarkan 'olive branch' (tawaran untuk berdamai) pada kedua-duanya (Pas dan Bersatu).
"Tetapi tangan kita bukan sahaja di kokak dan digigit, tetapi telah dilakukan sesuatu sehingga hampir patah tangan itu, tetapi kami bina kekuatan itu secara bersendirian," jelasnya dalam sidang media di sini, pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kerjasama antara tiga parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muhyiddin berkata, penubuhan MN seolah olah kabur kerana penolakan UMNO meskipun jemputan kepada Bersatu menyertai gabungan itu dibuat Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Berkongsi sentimen sama ialah, Abdul Hadi yang dilaporkan mendakwa, sikap pemimpin UMNO yang menimbulkan masalah menyebabkan penubuhan MN tertangguh sehingga kini.
Bahkan, Abdul Hadi mendakwa, terdapat cubaan beberapa pemimpin UMNO mewujudkan jajaran baharu menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin terkubur pada Ogos 2021.
Pada Mac lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) membuat keputusan muktamad menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
Ahmad Zahid ketika itu berkata, UMNO juga menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).
Ujarnya, ketetapan itu bukan hanya dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malah lahir daripada suara peringkat akar umbi.
Untuk rekod, MN di antara UMNO dan Pas diisytiharkan pada 14 September 2019 yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.
Piagam MN ditandatangai oleh Ahmad Zahid dan Abdul Hadi.
Kerjasama antara dua parti itu menyaksikan lebih 11 pilihan raya kecil (PRK) berjaya dimenangi BN dan Pas.
Bagaimanapun, kerjasama UMNO dan Pas dilihat semakin tegang selepas beberapa dakwaan dibuat oleh kedua-dua pemimpin parti itu di peringkat nasional dan negeri.
Malah pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka turut memperlihatkan kerjasama kedua-dua parti Melayu itu seakan-akan terlerai.
BACA: UMNO tidak ikut piagam punca Pas tolak Muafakat Nasional
BACA: Muafakat Nasional bukan ditubuh dengan matlamat disertai Bersatu - Tok Mat
BACA: Masih ada ruang buat Bersatu bersama UMNO dan Pas, kata Ahmad Faizal
#UMNO #PAS #Bersatu #Muafakat Nasional