IPOH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, masih ada ruang buat parti itu untuk bersama UMNO dan Pas walaupun senario itu ketika ini kelihatan sukar.

Tegas beliau, untuk menyaksikan kerjasama ketiga-tiga parti politik itu, usaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak dan tanpa batasan masa.

Menurut Ahmad Faizal, walaupun Bersatu fokus bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN), namun dalam masa sama mereka juga komited memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau nak melakukan kebaikan, sampai hujung nyawa pun (boleh lakukan), kalau kita sempat nak bertaubat, kita harap Allah akan terima taubat kita, kita boleh balik ke jalan yang baik.

“Saya secara peribadi berpandangan bahawa demi kebaikan tidak ada had masa (lakukan kebaikan),” kata beliau. Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Kebangsaan di sini, pada Ahad.

BACA: UMNO tidak ikut piagam punca Pas tolak Muafakat Nasional

BACA: 
 Muafakat Nasional bukan ditubuh dengan matlamat disertai Bersatu - Tok Mat

BACA: "Jangan hadkan penyatuan ummah, itu maksud Presiden Pas" - Takiyuddin



Pada Sabtu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan UMNO melanggar piagam Muafakat Nasional (MN) menjadi punca parti itu menolak untuk bersama gabungan itu.

Menurut Abdul Hadi, ketika MN ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah, katanya, dalam piagam itu juga menyebut mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menyertai MN.