PASIR PUTEH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata DAP telah memberi komitmen bahawa parti itu sentiasa menghormati agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata perkara itu telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semasa penubuhan Kerajaan Perpaduan yang merangkumi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta rakan gabungan dari Sabah dan Sarawak.

"Allah telah takdirkan kombinasi antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya mewakili UMNO dan BN dibantu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor serta Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Anthony Loke telah berjanji depan kami semua bahawa DAP tidak akan pernah ganggu agama Islam di Malaysia kerana DAP sangat menghormati kedudukan agama Islam sebagaimana dalam Perlembagaan Malaysia," katanya dalam sidang media selepas hadir Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Perumahan Nelayan Tok Bali di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

-- BERNAMA