SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan menyatakan pendirian menyokong Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberikan mandat menerajui Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata ini kerana Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri telah membuktikan kemampuannya memimpin kerajaan negeri dengan baik, malah pendirian itu juga akan disampaikan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Malam ini bagi pihak DAP saya isytiharkan bahawa DAP akan tetap sokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar (MB) ...ini sokongan dan komitmen kami kepada beliau.

"Kita sokong Aminuddin kerana beliau telah buktikan beliau seorang Menteri Besar yang bukan sahaja taat kepada perjuangan, kasih dan prihatin kepada rakyat, negeri, malah adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persediaan PRN DAP negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH juga telah memberikan komitmen yang baik termasuk menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan PH akan meneruskannya sekiranya terus diberikan mandat.

Justeru, Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata masyarakat perlu untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata semua pihak juga perlu memastikan kestabilan kerajaan pada masa ini sekali gus memastikan pelaburan akan terus masuk ke negara ini sekiranya mempunyai kerajaan yang kuat.

Sementara itu, Aminuddin meluahkan rasa terima kasihnya atas sokongan dan cadangan DAP Negeri Sembilan supaya beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya diberikan mandat selepas PRN.

"Terima kasih DAP atas pendirian yang tidak berubah sejak awal. Bagaimanapun, pucuk pimpinan yang akan menentukannya," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Negeri Sembilan, yang memiliki 36 kerusi, menyaksikan PH menguasai 20 kerusi; DAP (11); PKR (6); Amanah (tiga); manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (UMNO 15 dan MIC satu).

-- BERNAMA