DAP hari ini memecat serta-merta ahlinya Julius Favianus dari cawangan Liawan di Sabah, selepas mengumumkan bertanding atas tiket parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen berkata keputusan itu dibuat setelah Favianus bertindak sebagai calon atas tiket Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Bingkor, yang turut ditandingi calon DAP.

Katanya, DAP dan parti gabungannya, Warisan Plus telah memutuskan bahawa kerusi DUN Bingkor akan ditandingi oleh calon DAP menggunakan lambang Warisan.

“Mana-mana ahli parti yang dipilih menjadi calon yang menentang keputusan yang dicapai oleh pakatan Warisan Plus, dianggap sebagai suatu tindakan yang ingkar dan tidak disiplin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Ini juga merupakan suatu pengkhianatan kepada rakyat yang ingin mengekalkan tampuk pemerintahan kerajaan Warisan Plus,” katanya.

Favianus akan menentang calon DAP iaitu Odom@Peter Dhoms Saili @ Soili.

Warisan Plus terdiri daripada gabungan parti Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah.

PRN Sabah kali ke-16 ditetapkan pada 26 Sept ini dengan pengundian awal pada 22 Sept.

-- BERNAMA