KUALA LUMPUR: Kedudukan pembangkang yang terlalu lemah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan menyukarkan proses semak dan imbang sekali gus boleh menimbulkan masalah ketidakcekapan pentadbiran.

Bagaimanapun Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Prof Awang Azman Awang Pawi berpendapat, DAP perlu memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan pembangunan yang dirancang akan lebih memanfaatkan rakyat.

"Sebelum ini ada beberapa isu dilihat juga dikemukakan oleh DAP atas semangat untuk semak dan imbang. Bukan sekadar untuk menyokong GPS atau kerajan kerajaan negeri semata-mata.

"Ini penting bagi memastikan segala semak imbang, segala pembangunan dirancang, segala pembangunan yang sedang dilakukan akan lebih bermanfaat kepada rakyat akan dapat dipantau, diteliti dan dikritik secara membina untuk memastikan proses pembangunan itu lebih efisien, telus dan bertanggungjawab," katanya dalam Buletin AWANI pada Selasa.

PSB akan dibubarkan

Beliau turut berpendapat apabila Parti Sarawak Bersatu (PSB) bersetuju untuk dibubarkan, suara akar umbi akan tetap didengari.

Ini kerana pembubaran semata-mata tidak akan menguntungkan parti itu, namun perlu melihat daripada perspektif lebih luas bagi memastikan kerajaan negeri yang lebih baik dan stabil.

"Apabila dibubarkan, mereka tidak dianggap diri mereka ahli PSB lagi. Mereka akan jadi PDP. Inilah yang akan berlaku, inilah yang perlu diterima akar umbi PSB yang sebelum ini memenangkan PSB dengan empat kerusi. Walaupun dari empat kerusi itu satu kerusi dari Batu Lintang keluar dari PSB dan bergerak menggunakan sebagai DUN Bebas," katanya.