POLITIK
DAP tegas terus tuntut keadilan buat Beng Hock

Anthony (dua dari kiri) bersama Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching (dua dari kanan) melakukan tunduk hormat ketika sidang akhbar mengenai ‘Permohonan maaf SPRM kepada keluarga Teoh Beng Hock' hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pendirian DAP kekal konsisten dalam memperjuangkan keadilan buat mendiang Teoh Beng Hock dan keluarganya tanpa pernah berubah sejak 16 tahun lalu.
Ringkasan AI
- DAP kekal komited memperjuangkan keadilan buat Teoh Beng Hock, dengan Anthony Loke menegaskan pendirian parti tetap kukuh sejak 16 tahun lalu, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
- SPRM buat permohonan maaf terbuka buat pertama kali, namun keluarga Beng Hock menyifatkannya sebagai tidak ikhlas dan menuntut pengakuan penuh atas kematian ketika dalam tahanan.
- Mahkamah Rayuan pernah memutuskan kematian Beng Hock akibat perbuatan individu tidak dikenali, tetapi siasatan terkini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut oleh Pejabat Peguam Negara.
Sebelum ini, bekas veteran DAP memberi amaran bahawa parti itu berisiko kehilangan penyokong kerana dilihat gagal memastikan individu yang terlibat dalam kematian Beng Hock dibawa ke muka pengadilan.
Ronnie Liu berkata, kematian pembantu khas itu pada tahun 2009 telah menyatukan penyokong DAP yang percaya bahawa pihak berkuasa “telah melakukan sesuatu yang buruk”.

Sokongan dan pampasan yang diberikan kerajaan kepada keluarga Beng Hock tidak bersyarat dan mereka masih bebas menyuarakan pandangan. - Foto Bernama
Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, sokongan dan pampasan yang diberikan kerajaan kepada keluarga Beng Hock tidak bersyarat dan mereka masih bebas menyuarakan pandangan, termasuk menuntut keadilan.
Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan yang ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat oleh agensi antirasuah itu pada tahun 2009.
Permohonan maaf tersebut dikemukakan bersempena ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock, yang merupakan setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.
Bagaimanapun, dalam satu sidang akhbar bersama Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi (TBH-ADA) pada Rabu, keluarga mendiang menyifatkan permohonan maaf oleh Azam sebagai tidak ikhlas dan sekadar sandiwara publisiti.
Pihak keluarga mengecam kenyataan Azam yang memohon maaf “secara peribadi”, namun pada masa yang sama terus menafikan pembabitan pegawai SPRM dalam kematian Beng Hock.
Mengulas mengenai permohonan maaf terbuka itu, Anthony berkata, ia merupakan permohonan maaf secara terbuka yang pertama oleh SPRM kepada keluarga Beng Hock dalam tempoh 16 tahun, yang mencerminkan keikhlasan Kerajaan Madani.
“Tindakan ini juga memperlihatkan keadilan peralihan apabila institusi negara mengakui dan merenung kembali kemudaratan yang berlaku pada masa lalu,” katanya.
Untuk rekod, Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.
Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.
Pada Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut' (NFA), selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami