BELANJAWAN negara seperti Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Jumaat lalu lazimnya dibentangkan melalui ratusan angka, puluhan program dan pelbagai pengumuman kementerian. Namun begitu, dari sudut komunikasi dasar awam, terdapat perbezaan besar antara apa yang kerajaan umumkan dengan apa yang rakyat mahu tahu.
Rakyat tidak semestinya membaca Belanjawan 2027 berdasarkan jumlah peruntukan setiap kementerian atau bilangan inisiatif yang diumumkan. Sebuah keluarga biasa melihat belanjawan melalui pengalaman kehidupannya sendiri.
Justeru, Belanjawan 2027 sebenarnya sudah menjawab lima pertanyaan isi rumah.
Pertama: Berapa pendapatan saya bertambah?
Pertanyaan ini paling asas kerana masalah kos sara hidup bukan hanya berkaitan dengan harga. Ia juga berkaitan dengan ketidakupayaan pendapatan bergerak seiring dengan kenaikan perbelanjaan.
Belanjawan 2027 mengakui kesenjangan tersebut dengan menyatakan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih sekitar 33.9 peratus. Atas sebab itu, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, melibatkan lebih empat juta pekerja. Kerajaan juga memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, manakala Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400.
Bagi pekerja gig pula, kesannya diterjemahkan secara lebih konkrit. Pendapatan bersih median pemandu e-hailing dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan manakala penghantar p-hailing sehingga RM100 sebulan.
Inilah cara belanjawan menjawab sebahagian pertanyaan isi rumah, iaitu “berapa ringgit tambahan masuk ke akaun rakyat setiap bulan?”
Kedua: Berapa cukai saya jimat?
Bagi golongan pertengahan khususnya, bantuan tunai bukanlah satu-satunya ukuran. Mereka mahu mengetahui berapa banyak pendapatan yang boleh disimpan selepas cukai.
Belanjawan 2027 menaikkan pelepasan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. Kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM70,001 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus dan bagi RM100,001 hingga RM150,000 kepada 24 peratus. Pelepasan turut diperluas kepada penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, yuran pendidikan, kasut sukan serta beberapa perbelanjaan gaya hidup.
Secara keseluruhannya, kerajaan menganggarkan perubahan pelepasan dan kadar cukai tersebut boleh memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
Angka RM1,600 jauh lebih mudah difahami oleh rakyat berbanding penerangan panjang mengenai struktur banjaran cukai.
Ketiga: Apa bantuan keluarga saya?
Sebuah keluarga tidak hidup sebagai “kategori fiskal”. Mereka mungkin mempunyai anak sekolah, ibu bapa warga emas, ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) atau tanggungan lain.
Belanjawan 2027 memperuntukkan RM16 bilion kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Semua penerima STR akan mendapat SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, melibatkan sehingga sembilan juta penerima. Selain itu, rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, termasuk golongan M40.
Bagi keluarga yang menjaga warga emas pula, bantuan keseluruhan dinaikkan kepada RM1.3 bilion. Untuk komuniti OKU, peruntukan bantuan meningkat kepada RM1.5 bilion, manakala bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan. Elaun murid berkeperluan pendidikan khas pula meningkat daripada RM150 kepada RM200 sebulan.
Dalam kata lain, inilah antara yang perlu dikenal pasti oleh rakyat sebagai “bahagian keluarga saya dalam belanjawan ini”.
Keempat: Apa jadi kepada kos rumah, pengangkutan dan kesihatan saya?
Tiga komponen ini boleh memakan sebahagian besar pendapatan isi rumah.
Dalam bidang perumahan, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM20 bilion bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya mereka yang bekerja sendiri. Rumah pertama sehingga RM500,000 pula dicadangkan menikmati pengecualian penuh duti setem ke atas pinjaman dan pindah milik mulai 1 Januari 2027.
Dalam bidang pengangkutan, My50 diteruskan untuk sekitar 300,000 pengguna bas dan rel Prasarana. MyKomuter50 pula diperkenalkan dengan anggaran penjimatan sehingga RM160 sebulan, manakala pas percuma diberikan kepada murid sekolah, OKU dan kanak-kanak bawah enam tahun.
Dalam bidang kesihatan, kerajaan meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan kepada RM47.7 bilion dan menyediakan RM200 juta bagi menyumber luar rawatan untuk mengurangkan masa menunggu pesakit. Pelan Medi Asas pula akan bermula Januari 2027 dengan struktur bayaran berdasarkan diagnosis supaya kos rawatan lebih mudah dijangka.
Maka ukuran rakyat sepatutnya adalah mudah, iaitu adakah rumah lebih mudah dimiliki, perjalanan lebih murah dan rawatan lebih cepat serta terkawal?
Kelima: Bila saya akan rasa kesannya?
Sesetengah manfaat bermula seawal 1 Januari 2027, termasuk beberapa pelepasan berkaitan perumahan dan perubahan tertentu dalam sektor kesihatan. Medi Asas juga dijadual dilancarkan pada Januari. Sebaliknya, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 hanya berkuat kuasa mulai Jun 2027.
Perbezaan masa ini penting kerana jika rakyat tidak tahu bila manfaat bermula maka mereka mudah mentafsirkan janji masa hadapan sebagai janji tanpa hasil.
Kerajaan sebenarnya mempunyai amat banyak inisiatif. Tetapi dalam zaman lebihan maklumat, lebih banyak pengumuman tidak semestinya menghasilkan lebih banyak kefahaman. Formula komunikasi yang lebih berkesan ialah menukar bahasa kerajaan kepada bahasa rumah tangga dan bila pertanyaan isi rumah ini dapat dijawab dengan angka, tarikh dan contoh yang mudah maka pastinya Belanjawan 2027 akan dilihat sebagai sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.
*Prof Madya Mohd Khairie Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, SMMTC Universiti Utara Malaysia, UUM
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.