Ahli UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) tidak perlu hadir program debat yang dijadualkan Sabtu ini antara Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Nazri menegaskan beliau tidak kisah sekiranya tiada penyokong yang hadir kerana beliau yakin mampu menangkis dan menjawab sebarang soalan bekas perdana menteri itu.

“Saya hendak minta orang UMNO dan BN tidak usah hadir, saya tidak ada masalah, saya seorang (pun) boleh.

“Bukannya saya hendak bercakap dengan wakil UMNO. Saya hendak bercakap pada pembangkang, saya mahu mereka dengar penjelasan saya,” kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mencabar Mohamed Nazri berbahas beberapa isu termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal BMF dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

BACA: Debat Tun Mahathir-Nazri Aziz 25 Mac ini di Padang Rengas

Mohamed Nazri bersetuju debat itu diadakan di kawasan Parlimen beliau di Padang Rengas, Perak pada 25 Mac ini.