KUALA LUMPUR: UMNO perlu mendedahkan serta segera menghukum pemimpin parti itu yang mengadakan perbincangan rahsia dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, sebarang kerjasama UMNO dengan PKR jelasnya melanggar dasar dan mencemarkan nama parti itu selain menimbulkan kekeliruan kepada ahli.

Tegasnya, pemimpin tersebut perlu segera dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin.

"Memang menjadi persoalan yang masih menjadi misteri kepada semua, siapakah dalang yang berbincang bagi pihak UMNO dengan Presiden PKR itu untuk kerjasama dengan gabungan pembangkang berkenaan.

"Semua pihak semakin bingung setelah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Penerangan, Shahril Hamdan Suffian dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan tidak tahu menahu mengenainya selepas Anwar mengaku berbincang dengan UMNO.

"Justeru, UMNO harus mengenal pasti identiti pemimpin ini dan tampil mendedahkan kepada semua siapa yang berbincang dengan Anwar dan mengapa ia berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Kerjasama politik: Ada perbincangan antara pimpinan PKR-UMNO, masih terlalu awal - Anwar

BACA: 
Jika UMNO ingin kerjasama PH, tak perlu tunggu PRU, sokong Anwar sekarang - Amanah

Anwar pada Selasa tidak menafikan kemungkinan kerjasama antara parti pimpinannya dengan UMNO, namun setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan awal.

[SIDANG MEDIA] Ketua Pembangkang - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Presiden PKR itu juga mengakui ada perbincangan awal antara beberapa pimpinan Keadilan dan pimpinan UMNO.

BACA: Rundingan PKR dengan UMNO? Saya tidak tahu - Mohamad Hasan

Dalam pada itu, Dr Kamarul Zaman menegaskan, UMNO perlu mengambil tindakan tegas dengan menghukum pemimpin yang jelas merosakkan parti kerana mengambil tindakan yang tidak sejajar.

"Tindakan pemimpin sedemikian melanggar dasar parti yang dipersetujui sejak sekian lama, iaitu 'No Anwar, No DAP'," ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo menegaskan, langkah berbaik dengan PKR tidak merugikan UMNO kerana kedua-duanya adalah parti yang masih percaya kepada kepimpinan Melayu bagi sebuah negara pelbagai etnik.

Katanya, suasana yang berbeza ini mendorong UMNO untuk memikirkan strategi yang boleh menguntungkan parti itu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, parti itu masih berpegang kepada ketetapan tidak menjalin kerjasama dengan PKR seperti yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) parti itu sebelum ini.

Jelasnya, keputusan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) juga masih terpakai iaitu tidak timbul kerjasama dengan PKR ataupun DAP.