Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berusia 150 tahun pada tahun ini, menjadikan ia DUN tertua di Malaysia sejak persidangannya yang pertama diadakan pada 8 Sept 1867 di Bintulu.

Menurut Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, sambutan ulang tahun ini sangat penting kerana sejarah keunggulan Dewan ini merupakan lambang kedaulatan negeri Sarawak melalui proses perundangan yang adil.

Selain itu, DUN ini juga merupakan DUN pertama mengamalkan sistem swa-pemerintahan yang berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.

“Dewan yang mulia ini merupakan institusi perundangan yang tertua di Malaysia yang mengamalkan sistem swa-pemerintahan atau self-government, dengan berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.

"Persidangan yang pada awalnya dikenali sebagai Majlis Umum dipengerusikan oleh Tuan Charles Brooke selaku Tuan Yang di-Pertua Majlis dan dianggotai oleh 21 ahli-ahli Majlis iaitu lima orang pegawai Inggeris dan 16 orang ahli Melayu dan Melanau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di istiadat Persidangan Khas Mesyuarat Ke-3 bagi penggal kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 bersempena dengan ulang tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak.


Tambahnya lagi, sambutan ulangtahun ini juga adalah untuk mengingati dan menghargai sumbangan personaliti yang terlibat dalam pembentukan sistem perundangan negeri sarawak yang unik, tersendiri dan kontemporari.

Sempena sambutan ini juga, pihak DUN Sarawak telah melancarkan galeri yang memaparkan koleksi gambar-gambar bersejarah dun dari tahun 1867 sehingga kini.

Pelancaran galeri tersebut disempurnakan oleh Abdul Taib diiringi isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg.

Pameran ini juga akan dibuka kepada orang awam bertempat di ruang galeri DUN, serta dibuka mulai Isnin hingga Jumaat.