JAKARTA: Seorang pemimpin harus mampu bertegas dalam menjalankan pentadbiran dan membuat keputusan demi kebaikan rakyat.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, biarpun ia mungkin disalah erti, ciri itulah yang akan membawa kestabilan dan pembangunan nasional dalam sesebuah negara.

"Salah satu kriteria yang sering saya ungkapkan sebagai perlu bagi seseorang pemimpin untuk memajukan negara ialah sebuah kerajaan yang stabil. Ia sering disalah ertikan sebagai menggalak kepada authoritarianism dan dictatorship.

"Kerajaan yang stabil bermaksud kepimpinan nasional, setelah terpilih menerusi pilihan raya yang adil dan telus tidak berterusan bergelumang dengan politik kepartian.

"Demokrasi yang dipegang perlu difahami sebagai menerima keputusan majoriti rakyat dan yang tewas menghormati keputusan tersebut dan tidak melakukan aksi-aksi politik yang menyebabkan ketidakstabilan kepada kerajaan.

"Ini bukan bermakna pembangkang harus duduk diam tetapi ia perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pengkritik yang konstruktif serta menjadi pemerhati yang efektif.

"Cuma di dalam keadaan yang luar biasa baharulah pembangkang menekan supaya pemimpin kerajaan melepaskan jawatan dan tidak semestinya keseluruhan kerajaan.

"Dengan demikian, kerajaan akan dapat berfungsi dengan baik dan mampu memberi tumpuan kepada program-program serta melaksana dasar-dasar yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Parti Nasional Demokrat (Nasdem) di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, kemajuan akan dapat dicapai apabila pemimpin mempunyai idea dan perancangan yang teratur, untuk pembangunan negara.

Tegas Dr Mahathir lagi, keputusan serta dasar yang diperkenalkan mesti merangkumi majoriti rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan dan dilakukan demi kepentingan majoriti rakyat dan negara.

"Pertamanya, kita perlu diagnose (kenal pasti) atau mengkaji apakah penyakit yang menjangkiti atau dihidap oleh rakyat dan negara.

"Setelah kita faham apakah penyakitnya, kita perlu mencari remedy ataupun ubatnya supaya penyakit itu dapat kita ubati. Adakalanya, penyakit itu sudah terlalu lama dan menular, sehingga menjadi gangrene dan perlu dipotong atau amputate untuk menyelamat bahagian-bahagian badan yang lain.

"Keputusan untuk melakukan amputation ini perlu dibuat walaupun ianya amat sukar, pedih dan menyedihkan. Begitulah juga kedudukan seseorang pemimpin yang memegang tampuk kepimpinan nasional.

"Namun kita tahu, terdapat ramai pemimpin yang tidak mempunyai keberanian yang hanya akan mencari jalan mudah yang populis dan hasilnya, rakyat akan terlena buat seketika tanpa sedar negara sedang rosak dan akhirnya akan binasa.

"Ketika itu rakyatlah yang akan membayar harga yang amat mahal," ujarnya.