Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengakui dirinya kini dalam dilema susulan keputusan beberapa PAS kawasan yang mencalonkannya bagi jawatan presiden pada pemilihan parti itu akan datang.

Husam berkata pada masa sama beliau perlu memikirkan perasaan dan hak anggota parti yang membuat pencalonan itu walaupun dirinya masih berbelah bahagi untuk memberikan kata putus.

"Memang saya dalam keadaan dilema. Saudara tidak perlu bertanya panjang-panjang (mengenai perkara itu).

"Ini masa ahli menyuarakan perasaan mereka. Saya sebagai pemimpin tidak boleh bertindak atas diri saya sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Segamat hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Segamat, Firdaus Mashod.

PAS kawasan itu hari ini mencalonkan Husam bagi jawatan presiden manakala Mohamad Sabu dicalonkan untuk terus kekal bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi jawatan tiga naib presiden pula, kawasan itu mencalonkan Dr Dzulkefly Ahmad, Ustaz Idris Ahmad dan Datuk Dr Mujahid Yusof.

Mengulas perkara itu, Husam yang merupakan bekas exco kerajaan Kelantan berkata buat masa ini biarlah anggota parti membuat keputusan masing-masing dan apabila tiba masanya kelak, beliau akan membuat keputusan muktamad mengenainya.

"Tidak semestinya saya membuat keputusan itu sekarang. Jika saya kata tidak bertanding, saudara kena fikirkan perasaan ahli. Apa kata mereka. Ini masa untuk ahli suarakan hak mereka.

"Saya sendiri pun tidak pernah menghitung berapa jumlah pencalonan untuk saya sehingga kini. Saya sendiri tidak pernah mempunyai sebarang rencana politik," katanya.