POLITIK

Dr Mahathir bukan 'tuhan' dalam politik - Ketua Bersatu Kepong

Astro Awani 11/05/2020 | 01:00 MYT
Menurut Norizan, Dr Mahathir sepatutnya bersama-sama berganding bahu dengan Perdana Menteri untuk memulihkan keadaan negara ini. - Gambar Facebook DATO NORIZAN ALI
Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, menurut Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepong, Datuk Norizan Ali, Dr Mahathir sepatutnya bersama-sama berganding bahu dengan Perdana Menteri untuk memulihkan keadaan negara ini.

Jelasnya, kemelut politik yang berlaku sehingga Muhyiddin diangkat menjadi Perdana Menteri adalah berdasarkan permainan politik yang dicetuskan oleh Dr Mahathir sendiri.

"Jika Dr Mahathir sebelum ini komited dengan janji peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak meletakkan jawatan, kemelut politik di negara ini pasti tidak akan berlaku.

"Kini, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kabinet juga sudah dibentuk untuk mengurus negara ini.

"Membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin bukan saja memperlihatkan penolakan terhadap perkenan Yang di-Pertuan Agong, malah hanya akan menyebabkan negara terjerumus ke kancah kekalutan sekali lagi, tidak kira sama ada usul itu mencapai kejayaan atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: Usul undi tidak percaya tidak kena pada masanya - MPT Bersatu

BACA:
Bersatu sudah keluar PH - Mohd Radzi

Dewan Rakyat sebelum ini menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin untuk dibawa pada Mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 yang akan bersidang pada 18 Mei ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul diterima di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, senario buruk akan berlaku kerana Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah daripada parti yang sama.

"Tegasnya, membawa usul itu akan menjadikan pergelutan politik selain negara akan menjadi bahan ketawa dunia.

"Sesuai dengan namanya Bersatu dan memegang jawatan selaku Pengerusi, Dr Mahathir sepatutnya benar-benar menjadikan parti itu bersatu, berpadu dan bukan berpecah-belah.

"Apa lagi yang Dr Mahathir mahukan melalui usul undi tidak percaya nanti? Meskipun kedudukan sebagai negarawan cukup dihormati, tetapi Dr Mahathir wajar berhenti menjadi 'tuhan' dalam politik yang mahu semua tindakan dan kata-katanya dipatuhi oleh semua orang," ujarnya.

Menurut Norizan lagi, Dr Mahathir juga perlu akur dengan keadaan dan penolakan orang lain terhadapnya.

"Dalam usia yang masih bersisa ini, adalah disarankan lebih baik Dr Mahathir banyak berehat serta menghabiskan masa bersama keluarga sambil memberikan banyak keutamaan atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Langkawi.

"Adalah diyakini pengundi Langkawi yang masih ramai ketinggalan dari segi ekonomi lebih memerlukan khidmat Dr Mahathir berbanding jika beliau terus mencampuri urusan politik negara yang sebenarnya lebih aman sekarang ini.

"Sedarlah, dalam usia sekarang, bukan masa yang sesuai lagi untuk Dr Mahathir terus melibatkan diri dalam politik nasional dan terimalah hakikat apa yang berlaku sehingga Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri sebagai qada dan qadar yang tentu ada hikmah dan kebaikannya," jelasnya.

Dr Mahathir juga, kata beliau, akan kekal sebagai negarawan jika sedia memberi sokongan dan berganding bahu bersama Muhyiddin memulihkan keadaan negara.

"Namun sebaliknya dibimbangnya hanya penghinaan akan diterimanya jika terus ingin menjadi pencatur dan 'tuhan' politik dalam negara ini," katanya.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #kabinet #keluarga #Langkawi #Mahathir Mohamad #menteri #Muhyiddin Yassin #politik #rakyat