Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dalam satu majlis besar-besaran yang akan diadakan pada 8 Oktober ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, majlis itu nanti akan turut dihadiri ketua-ketua parti di dalam gabungan itu.

"Saya juga berharap pengundi luar akan balik mengundi kerana tidak ada undi pos. Jadi kena baliklah, jadi banyak yang ada di negeri-negeri lain kita minta mereka balik mengundi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH di bangunan Albukhary di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir menegaskan tidak akan masuk campur dalam percaturan mengadakan PRK Port Dickson yang diketahui umum sebagai ‘langkah pertama’ untuk mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Dr Mahathir juga sebelum ini menolak kemungkinan akan turun padang menyertai jentera PH.

Bagaimanapun, katanya, beliau perlu berada di Port Dickson bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

"Saya berpendapat ada ramai orang membuat pelbagai teguran terhadap saya, jadi saya akan ke sana (Port Dickson)," katanya merujuk kepada dakwaan kononnya beliau tidak menyokong Anwar.

Anwar sebelum ini menegaskan hanya pengundi di Port Dickson yang boleh menentukan nasibnya sama ada dapat menjadi Ahli Parlimen atau sebaliknya.

Jelasnya, banyak pihak cuba menghalangnya ke Parlimen namun hanya akan menerima keputusan yang akan ditentukan pada 13 Oktober nanti.

Ditanya mengenai situasi kempen PRK itu setakat ini, Dr Mahathir berkata ia masih mengumpul momentum dan belum memuncak.

"Orang ramai letih dengan pilihan raya, ini pilihan raya yang kecil jadi seperti pilihan raya yang terakhir jumlah pengundi yang pergi mengundi adalah terlalu kecil," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berharap pengundi yang berada di luar Port Dickson supaya pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Mahathir turut ditanya mengenai dakwaan Bersih berhubung salah laku ketika berkempen pada PRK itu termasuk penggunaan kenderaan rasmi kerajaan.

Mengulas dakwaan itu, Perdana Menteri berkata ia digunakan menteri yang juga anggota parti politik.

"Walaupun kita menteri tetapi kita orang parti. Jadi, kerja parti kena buat juga tetapi kerja parti kita tidak mendapat bayaran. Duit kita sendiri kita pakailah," katanya.

Berhubung kehadiran Anwar pada majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di dalam kem tentera Port Dickson ketika kempen PRK itu, Dr Mahathir berkata majlis itu bukannya program kerajaan.

"Ia bukan majlis kerajaan. Ianya veteran. Mereka sudah pun bersara. Ia bukan majlis yang dikendalikan oleh Kemenerian Pertahanan tetapi menteri berkenaan (Mohamad Sabu) berada di situ sebagai anggota parti," jelasnya.

Mengenai kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan Perdana Menteri perlu diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat penggal, Dr Mahathir menyatakan ia adalah pendapat Presiden PAS itu.

"Itu pendapat beliau, setiap orang boleh mempunyai pandangan sendiri. Ini sebuah negara bebas," katanya.