Datuk Dr. S. Subramaniam dipilih sebagai Presiden MIC yang baharu selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu hari ini.

Dr. Subramaniam diisytiharkan memenangi jawatan itu selepas tiada calon lain mencabarnya, apabila tempoh pencalonan yang dianjurkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 ditutup pada jam 6.30 petang tadi.

Pengumuman keputusan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Presiden MIC, Datuk B. Sagadevan, pada satu sidang media di Ibu Pejabat MIC, di sini.

Ia disambut dengan sorakan dan laungan kuat daripada lebih 2,000 penyokong dan perwakilan yang berkumpul di ibu pejabat MIC.

Dr Subramaniam yang merupakan bekas Timbalan Presiden MIC sejak 2010, sebelum memangku jawatan Presiden MIC menerima 450 pencalonan merangkumi 2,700 daripada 2,843 cawangan parti itu.

Sebelum ini, CWC Interim 2009 pada 24 Julai lepas mengumumkan pencalonan untuk jawatan presiden akan diadakan hari ini manakala pemilihan pada 6 September ini.

Menurut perlembagaan parti, calon yang mahu bertanding jawatan nombor satu dalam parti mesti menjadi pengerusi cawangan serta mendapat 50 pencalonan dan setiap pencalonan perlu mempunyai seorang pencadang serta lima penyokong.

Kemenangan Menteri Kesihatan itu, bagaimanapun dijangka akan menghangatkan lagi krisis parti berusia 68 tahun itu berikutan bekas presiden Datuk Seri G.Palanivel pada 9 Ogos lalu turut diumumkan sebagai presiden parti dalam penamaan calon oleh penyokongnya.

Sementara itu, bercakap pada sidang media kemudiannya, Dr Subramaniam yang menyambut baik pemilihannya sebagai Presiden MIC, menyifatkan kemenangan itu satu tanggungjawab dan cabaran besar yang perlu dipikul.

"Terima kasih kepada semua anggota parti yang memberi kepercayaan kepada saya. Dengan kemenangan ini saya berazam akan menumpukan kepentingan kaum India dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan sosial," katanya.

Menurutnya, selain mempersiapkan jentera parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14, MIC melalui kepimpinan yang baharu ini akan mengeratkan lagi hubungan parti dan masyarakat India melalui penubuhan satu majlis konsultasi.

Melalui majlis konsultasi itu, beliau berkata segala isu dan pandangan pemimpin luar daripada bidang politik akan diambil kira untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada masyarakat India.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam, berkata pemilihan peringkat bahagian akan diadakan sepanjang bulan depan manakala pemilihan anggota CWC, timbalan presiden dan naib presiden parti akan diadakan pada Konvensyen Kebangsaan MIC, Oktober ini.

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Disember tahun lepas dengan meminta parti itu mengadakan pemilihan semula.

Kemelut MIC mencapai kemuncaknya apabila Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 25 Jun kepada Setiausaha Agung CWC sementara MIC bagi 2009, A. Sakthivel, menyatakan bahawa secara "ipso facto", Palanivel bukan lagi anggota MIC.

Surat itu juga menyatakan bahawa Dr Subramaniam akan mengambil alih tugas Palanivel sebagai pemangku Presiden MIC.

Terdahulu, proses penamaaan calon bagi pemilihan jawatan Presiden MIC itu tercemar berikutan kekecohan yang berlaku kira-kira 4.30 petang di perkarangan Ibu pejabat MIC menyebabkan beberapa individu termasuk anggota polis mengalami kecederaan.

Namun tindakan pantas anggota polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan.