KUALA LUMPUR: Draf berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti selesai diperincikan dan akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat seterusnya, kata Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang dianggotainya bermesyuarat buat kali terakhir mengenai RUU tersebut semalam, dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau yang juga Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri berkata, RUU tersebut merupakan satu lagi langkah untuk menghapuskan budaya ‘katak politik’, serta memastikan politik Malaysia lebih bermaruah.

“Saya dengan sukacita ingin memaklumkan PSSC selesai bermesyuarat mengenai Akta Antilompat Parti hari ini (Selasa), dan kami akan menghantar RUU tersebut kepada Parlimen untuk dibentangkan.

“Ini merupakan satu lagi langkah untuk menghapuskan koloni katak, dan menuju ke arah politik yang lebih bermaruah di Malaysia,” kata Azalina menerusi akaun Twitternya pada Selasa.


Pada 7 Julai lepas, Wan Junaidi dilaporkan berkata, draf RUU itu akan dicetak selepas ia mendapat persetujuan Kabinet, yang akan bermesyuarat hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, beliau berhasrat meletakkan RUU tersebut pada meja setiap Ahli Parlimen pada hari pertama sesi Dewan Rakyat seterusnya, iaitu pada 18 Julai.

Katanya lagi, draf RUU tersebut tidak perlu dibentangkan untuk bacaan kali pertama, kerana proses tersebut telah dilakukan dalam sesi khas Dewan Rakyat pada 11 April lepas.

Media sebelum ini melaporkan, cadangan RUU tersebut antara lain, akan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar dari parti yang mereka tandingi sewaktu pilihan raya lepas, menyertai parti lain, atau menjadi Ahli Parlimen Bebas.

RUU tersebut, sekiranya dipersetujui, tidak akan meliputi Ahli Parlimen yang dipecat oleh kepimpinan parti atau parti yang keluar dari sesebuah gabungan politik, seperti mana yang terjadi di Langkah Sheraton pada 2020.

Sementara itu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beliau turut berpandangan beberapa reformasi atau penambahbaikan tambahan diperlukan, bagi benar-benar ‘mematikan’ niat wakil rakyat melompat.

"Ini termasuk RUU Pendanaan Politik, bagi mengawal selia dana yang diterima parti-parti politik; dan RUU Perkhidmatan Parlimen, supaya Parlimen benar-benar bebas dari Eksekutif dan berupaya menyalurkan peruntukan sama rata kepada setiap Ahli Parlimen," katanya.

Menurutnya, pada waktu ini, peruntukan disalurkan sebagai ihsan Perdana Menteri dan ia merupakan salah satu punca ‘lompatan’ antara parti terjadi.

Turut memerlukan penambahbaikan, kata Fahmi, ialah pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi meletakkan SPRM di bawah Parlimen supaya ia benar-benar bebas dari Eksekutif.