KUALA LUMPUR: Dewan Undangan Negeri Melaka ketika ini dilapor bergolak susulan khabar angin yang mengatakan ada beberapa ADUN dilapor melompat parti untuk membentuk kerajaan perpaduan. 

ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dikatakan akan ‘berpatah balik’ menyokong kepimpinan PH, menafikan dakwaan berkenaan.

“Setakat 4.35 petang ini tidak ada apa apa pun yang bergoyang, semuanya masih berjalan seperti biasa.

“Ada yang kata saya nak masuk sana sini, apa punya cakap tu ? Semua boleh cakap. Biarlah orang bercakap, terpulanglah mulut masing-masing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini. 

Pemimpin utama Pakatan Harapan dilapor berusaha untuk menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk mengambil alih kerajaan.

Memetik laporan The Star, dua pemimpin kanan PH dilihat berada di kediaman Mohd Ali di Bukit Katil pada Jumaat.

Sumber Perikatan Nasional yang memaklumkan kepada The Star itu turut berkata mereka membawa 15 Akuan Bersumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan baharu merangkumi UMNO, DAP, Parti Amanah Negara, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan seorang bebas.

Bagaimanapun, difahamkan mereka tidak dapat berjumpa dengan Mohd Ali.

Sumber turut mendakwa empat ADUN UMNO sedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan pembangkang sekarang.

Turut dilaporkan satu mesyuarat diadakan di Petaling Jaya pada Khamis antara pembangkang dengan beberapa ADUN yang lain.

BACA: Melaka bakal bertukar tangan?

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan spekulasi bertiup kencang kononnya kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.

Ini susulan empat ADUN didakwa akan melompat ke Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Melaka, Ahmad Bilal Rahudin ketika dihubungi portal itu memaklumkan supaya menunggu berita petang ini.

Sementara itu, portal Malaysiakini pula melaporkan timbul spekulasi mengatakan kerajaan negeri baharu atau kerajaan perpaduan dibentuk di Melaka yang dipimpin Barisan Nasional selepas parti itu memberi tawaran kepada pembangkang.

Ia membawa kepada perbincangan yang diadakan pada Khamis antara ADUN PH dan kepimpinan PH Pusat yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.