POLITIK
Fadillah akan beri penjelasan isu kritikal kepada Ahli Parlimen GPS, GRS

Fadillah yang juga Ketua Whip GPS berkata penjelasan tersebut penting bagi memastikan semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan memahami isu-isu utama yang dibincangkan dalam Kabinet. - Foto Bernama
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan memberikan penjelasan berkaitan isu semasa dan kritikal negara kepada semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), susulan pertemuan tertutup Perdana Menteri dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Fadillah akan beri taklimat kepada wakil GPS dan GRS: Timbalan Perdana Menteri akan jelaskan isu semasa dan kritikal kepada Ahli Parlimen GPS dan GRS susulan pertemuan tertutup PM Anwar dengan wakil BN baru-baru ini.
- Penjelasan penting untuk keselarasan dalam Kerajaan Perpaduan: Fadillah nyatakan jumlah wakil GPS dan GRS kecil membolehkan interaksi langsung, dan beliau sedia bantu PM agar semua komponen kerajaan faham isu Kabinet dengan jelas.
- Sesi pemukiman dijadual minggu depan: Semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan termasuk menteri dan timbalan menteri akan sertai sesi retreat untuk perjelas isu semasa secara menyeluruh.
"Kalau nak serahkan semua untuk Perdana Menteri melaksanakan (pertemuan dengan semua wakil rakyat) mungkin masa tak cukup, jadi saya boleh memainkan peranan untuk beri penjelasan kepada semua Ahli Parlimen GPS dan GRS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kursus 'AI for MY Future' kawasan Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada wakil GPS terlibat dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya semalam.
Media sebelum ini melaporkan mesyuarat selama lebih sejam itu dipercayai menyentuh isu semasa termasuk mengenai sidang Parlimen akan datang.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata beliau akan menyampaikan penjelasan itu kepada semua Ahli Parlimen GPS dan GRS menerusi satu sesi taklimat yang dijadualkan dalam masa terdekat.
"Kita akan ada satu sesi 'retreat' membabitkan semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan termasuk menteri dan timbalan menteri, dijadual pada minggu depan, jadi, di situ kita akan beri penjelasan lanjut," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan akan berada di Sabah esok bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami